Baiki segera kerosakan wad HSA - HARAPAN Johor


KERAJAAN
Persekutuan digesa segera meluluskan peruntukan kewangan khas pembaikan Was du Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang terbakar Ahad lalu dimulakan.

Penyelaras Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, langkah itu perlu bagi mewujudkan persekitaran kerja yang selamat untuk kakitangan HSA.

"Ini bagi memastikan agar aspek-aspek keselamatan tidak diabaikan. Keselamatan rakyat tidak wajar dikompromi dalam apa jua keadaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wad Perubatan Perempuan 1 di HSA terbakar pada petang Ahad lalu, kebakaran pada mulanya berjayad dikawal polis bantuan HSA tetapi merebak semula sebelum pihak bomba dipanggil untuk operasi pemadaman api.

Susulan itu, seramai 24 pesakit dipindahkan ke wad lain dan 10 daripadanya dibawa ke Hospital Permai.

Insiden itu turut menarik perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, Aminolhuda yang juga ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi perhatian serius terhadap syor penambahbaikan yang dikemukakan dalam laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas menyiasat punca kebakaran HSA pada 25 Oktober 2016.

Ia antaranya berkaitan latihan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan, penambahbaikan infrastruktur hospital, tambahan laluan kecemasan, pembaikan sistem elektrik bangunan dan lain-lain yang mampu mengelakkan insiden sama berulang.

"Kita khuatir sekiranya tiada tindakan segera diambil bagi meningkatkan tahap keselamatan premis hospital serta menambah baik tatacara operasi dibimbangi insiden ini berulang dan mengancam nyawa lebih ramai kakitangan hospital dan pesakit," kata ADUN Parit Yaani.

Aminolhuda turut menggesa Kementerian Kesihatan berganding bahu dengan agensi berkaitan termasuk jabatan bomba dan penyelamat bagi melaksanakan segala syor jawatankuasa bebas tersebut dengan segera.

Tegasnya ia termasuk usaha meningkatkan keselamatan bangunan selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam Johor 1984 dan 1986, Akta Bekalan Elektrik 1990 serta Peraturan Elektrik 1994.

Post a comment

0 Comments