Bapa Khabib meninggal dunia akibat Covid-19


BAPA kepada atlet seni bela diri campuran (MMA) Khabib Nurmagomedov dilapor meninggal dunia di Moscow semalam.

Portal antarabangsa RT News dalam laporannya berkata, Abdulmanap, 57 meninggal akibat komplikasi kesihatan yang merosot berpunca dari wabak Covid-19.

Abdulmanap sebelumnya dilapor terkena serangan jantung selepas disahkan dijangkiti wabak Covid-19, yang memerlukan beliau melakukan pembedahan bypass.

Bagaimanapun, jurulatih Khabib itu kemudian didapati koma. Berdasarkan laporan doktor, keadaan jurulatih terkenal MMA itu pada awalnya didapati serius tetapi stabil namun beliau tidak dapat bertahan ekoran jangkitan wabak tersebut.

Untuk rekod, Khabib telah dilatih oleh ayahnya yang merupakan seorang ahli gusti veteran sepanjang kariernya.

Abdulmanap menukarkan sebahagian kediamannya kepada tempat gimnasium di mana Khabib belajar untuk bergusti sebelum membuat debut pertamanya di gelanggang.

Menerusi kejayaan Khabib, beliau diangkat sebagai jurulatih terkenal di negaranya dan diberi gelaran  “Bapa MMA Dagestan” bagi menghargai pengorbanannya.

Post a comment

0 Comments