Bot karam: anggota TLDM hilang


SELEPAS
semua mangsa bot karam di Kemasin, Kelantan ditemui, satu lagi kes bot karam dilaporkan berlaku.

Dalam kejadian pada Sabtu itu, seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hilang manakala rakannya yang juga bekas anggota perkhidmatan itu selamat.

Bot dinaiki Mahmur Ajae, 45, dan rakannya, Salimin Paludin, 44, karam dipukul ombak di perairan Pulau Mabul dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu,

Difahamkan, Salimin sempat menghubungi abangnya untuk meminta lelaki itu melaporkan kejadian berkenaan kepada polis bagi mendapatkan bantuan selepas bot berkenaan karam.

Salimin kemudian ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna pada 9.45 pagi dan dihantar ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan.

Sejurus itu, usaha mencara Mahmur dijalankan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan, berkata operasi SAR dijalankan membabitkan lima sektor pencarian seluas 101 batu nautika persegi.

"SAR diaktifkan selepas menerima panggilan PPM mengenai kejadian terbabit pada 10.45 pagi.

"Ketika ini aset terlibat mencari mangsa hilang adalah aset Maritim Semporna iaitu Bot Ronda Banggi 09, Banggi 10 serta Banggi 31, selain itu operasi berkenaan turut dibantu anggota dan aset PPM, bomba serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya dipetik.

Kedua-dua mangsa dikatakan turun ke laut pada petang Jumaat untuk memancing sebelum kejadian itu berlaku.

Post a comment

0 Comments