Calon PM: kalau selesai, PH umum minggu depan


GABUNGAN
parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dilapor hanya akan mengumumkan nama calon Perdana Menteri minggu depan.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil berkata, pengumuman itu hanya akan dibuat sekiranya nama calon pilihan telah disepakati.

"Kalau ada kami akan umum (minggu hadapan). Kalau tiada, kami tidak akan sebut apa-apa. Tiada komen lain daripada itu." kata Fahmi dipetik.

Semalam, beberapa media tempatan melaporkan HARAPAN dengan kerjasama fraksi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dijangka akan mengadakan mesyuarat bagi memutuskan isu calon Perdana Menteri bagi mewakili gabungan itu pada minggu hadapan.

Ia dijangka akan membincangkan pencalonan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon bagi gabungan PH Plus seperti diumum Dr Mahathir Mohammad minggu lalu.

Cadangan itu dikemukakan susulan PKR menolak cadangan awal pencalonan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditawarkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

DAP dan Amanah sebelum ini dikatakan bersetuju dengan cadangan itu, bagaimanapun kedua-dua parti itu kemudiannya mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan mereka perlu berbincang mengenai cadangan Mahathir itu dengan kepimpinan peringkat tertinggi parti masing-masing sebelum diputuskan bersama dalam HARAPAN.

KEADILAN sebelum ini tetap bertegas mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan calon Perdana Menteri bagi PH Plus sebagaimana dikemukakan dalam mesyuarat pertama gabungan itu pada 9 Jun.
 

Post a comment

0 Comments