HARAPAN bantah usaha ganti Speaker Dewan


MAJLIS
Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) membantah apa-apa usaha bagi menggantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan media hari ini menegaskan tidak wujud sebarang keperluan sama sekali untuk menukar mereka.

Malah kedua-dua individu penting di Dewan Rakyat itu telah berkhidmat dengan baik dan diyakini akan terus berkhidmat dengan adil dan saksama.

"Tan Sri Yang di-Pertua, yang telah bersara dari politik kepartian sejurus memegang jawatan ini pasca PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) telah memainkan peranan yang amat mustahak dalam merakyatkan Parlimen di samping memulihkan kepercayaan umum terhadap institusi terpenting demokrasi di Malaysia.

"Daripada pembentukan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang baharu, mewujudkan Kumpulan Rentas Parti (All-Party Parliamentary Group) yang merapatkan hubungan di antara Ahli-Ahli Parlimen dan masyarakat sivil.

"Selain itu, pelbagai penambahbaikan perjalanan sidang Parlimen yang lain, YB Tan Sri Yang di-Pertua telah membuktikan bahawa usaha reformasi institusi yang bermula pasca PRU-14 telah mula membuahkan hasil dan wajib diteruskan.

"Sehubungan itu, Majlis Setiausaha PH menyatakan sokongan penuh ahli-ahli Parlimen pembangkang kepada Mohamad Ariff dan Kor Ming," katanya.

Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul untuk menggantikan Mohamad Ariff dan Nga Kor Ming.

Mohamad Ariff mengesahkan telah menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau dan timbalannya ditamatkan.

Bagaimanapun, seorang lagi timbalan speaker, Rashid Hasnon yang juga anggota parlimen Batu Pahat yang keluar daripada HARAPAN bersama-sama Azmin Ali tidak terkesan dengan usul berkenaan.

BACA: Bersih ajak sokong petisyen kekalkan speaker Parlimen
 

Kumpulan pendesak reformasi, Bersih 2.0 sebelum ini turut mengkritik percubaan menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof dan Kor Ming.

Mereka turut meminta orang ramai menandatangani petisyen bagi meminta kedua-dua mereka dikekalkan.

Post a comment

0 Comments