HARAPAN Johor sedia untuk Pilihan Raya Negeri


GABUNGAN
parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor bersetuju untuk membentuk "kabinet bayangan" bagi memantau pentadbiran kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dinyatakan mereka dalam satu kenyataan bersama ditandatangani Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi KEADILAN Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

"HARAPAN Johor akan mewujudkan kabinet bayangan untuk memainkan peranan semak imbang terhadap polisi dan dasar kerajaan Johor pimpinan Umno.

"Melalui pengalaman yang ditimba sepanjang 22 bulan sebagai kerajaan, kami yakin akan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan," katanya kenyataan tersebut.

Melalui kenyataan tersebut juga, mereka menegaskan akan melakukan penyusunan semula struktur kepimpinan ahli jawatankuasa di semua peringkat di negeri, mereka turut memaklumkan dalam keadaan siap sedia sekiranya pilihan raya diadakan.

Pentadbiran negeri yang kini diambil-alih Umno daripada Bersatu tegas mereka dilihat tidak berada dalam keadaan stabil. 

"Justeru, jentera bagi kawasan DUN dan parlimen akan diwujudkan bagi memfokuskan gerak kerja menghadapi pilihan raya yang mungkin berlaku bila-bila masa," katanya.

Sebagai rekod, Perikatan Nasional mempunyai majoriti dua kerusi di DUN Johor yang dianggotai 56 orang.

Bersatu, yang mempunyai 11 Adun dan diberi kepercayaan mentadbir negeri keluar daripada HARAPAN pada akhir Februari.

Mereka kemudiannya bergabung dengan 14 Adun Umno, dua wakil MIC, satu daripada PAS serta seorang Adun KEADILAN yang berpaling tadah yang menyebabkan kerajaan pilihan rakyat di Johor tumbang.

Bagaimanapun langkah itu kemudiannya menyaksikan Bersatu berada dibawah pentadbiran menteri besar dari Umno dalam kerajaan negeri yang pernah dikuasai mereka.

Post a comment

0 Comments