HARAPAN sokong Warisan, kecam cubaan rebut kuasa


RAKYAT di negeri Sabah digesa memberi sokongan penuh kepada Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai tanda sokongan terhadap Kerajaan Negeri yang dipimpinnya.

Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui satu kenyataan dikeluarkan Majlis Presiden berkata, Shafie telah membuat tindakan mengembalikan mandat dan kuasa kepada rakyat di negeri Sabah bagi meredakan krisis politik yang ditimbulkan pihak tertentu.

Rakyat Sabah kini berpeluang berpeluang untuk menetapkan semula (reset) politik nasional dengan mengangkat politik berprinsip untuk memberi isyarat mereka menolak budaya politik lompat parti dan membuktiksn kuasa rakyat lah yang menjadi faktor penentu berbanding kuasa wang ringgit.

“Hanya rakyat yang akan mampu menewaskan rampasan kuasa jahat yang telah dilancarkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dengan sokongan penuh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Pakatan Harapan mengecam sekeras-kerasnya politik khianat yang dilakukan Tan Sri Musa Aman, Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Perikatan Nasional serta tawaran sehingga RM32 juta seorang, bersekali dengan tawaran jawatan Timbalan Ketua Menteri,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Majlis Presiden berharap rakyat Sabah dapat mengembalikan mandat kepada kerajaan negeri pimpinan Shafie dan sekutunya.

Terdahulu, Mohd Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Dalam satu sidang media khas pada Khamis, beliau menjelaskan, pembubaran DUN Sabah itu telah mendapat perakuan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
https://t.me/kartelmedia
Sementara itu HARAPAN menegaskan bahawa tindakan Musa untuk menjatuhkan kerajaan negeri dengan cara membeli wakil rakyat adalah cubaan jahat, tidak demokratik dan tidak bermoral.

"Pakatan Harapan menyatakan sokongan penuh bagi menewaskan cubaan lompat parti yang sangat cela ini – yang telah dicetuskan oleh anasir-anasir Perikatan Nasional.

"Cubaan rampasan kuasa di tengah-tengah usaha negara membendung wabak Covid-19 adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.

"Nampaknya kesihatan orang ramai bukanlah keutamaan berbanding usaha merebut pangkat dan kuasa," menurut kenyataan itu lagi. 

Post a comment

0 Comments