Himpunan langgar SOP, laporan polis dibuat


SUSULAN himpunan penyokong bekas perdana menteri, Najib Razak di hadapan Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam,  Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Wilayah Persekutuan hari ini tampil membuat laporan polis.

Laporan itu yang dibuat atas alasan himpunan itu telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial ditetapkan kerajaan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) WP, P Prabakaran sebaik selesai membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berkata,  beliau merasa kecewa melihat gelagat  ditunjukkan beberapa ahli-ahli politik senior yang turut hadir dalam himpunan tersebut.

“Apa yang saya kecewa, tindakan ahli politik senior yang tidak bertanggungjawab.

"Contohnya Najib Razak. Boleh saja guna kereta masuk ke dalam (mahkamah), tapi beliau pilih jalan menyertai perhimpunan itu

“Pihak polis keluarkan kenyataan bahawa mereka akan ambil tindakan terhadap individu yang terlibat , saya tekankan bahawa ahli politik senior juga terlibat,” katanya.

Pemuda HARAPAN ketika membuat laporan polis
Turut hadir ketika laporan polis itu dibuat ialah Ketua Pemuda AMANAH WP, Asmaaliff Abdul Adam dan Ketua Pemuda DAPSY WP, Lee Bing Hong.

Prabakaran turut membacakan SOP kementerian yang antaranya menyenaraikan bahawa segala aktiviti yang menyebabkan kehadiran beramai-ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial, adalah tidak dibenarkan.

Beliau turut mempersoalkan, sama ada perhimpunan semalam sudah mendapat permit himpunan daripada pihak polis atau pun tidak.

Semalam dianggarkan 2,000 penyokong Najib bersesak dan bersorak di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Melalui gambar dirakamkan, mereka dilihat bersesak, tidak membuat penjara sosial dan sebahagian yang lain tidak menggunakan atau memakai pelitup muka dengan betul telah dikritik warganet.
https://t.me/kartelmedia
Sementara itu, Prabakaran yang juga Ahli Parlimen Batu berkata,  beliau turut khuatir dengan sikap tidak peka ditunjukan beberapa ahli-ahli Parlimen yang menyertai Dewan Rakyat selepas hadir ke himpunan tersebut.

“Saya selaku ahli Parlimen, keselamatan saya pun tergugat apabila Ahli Parlimen yang terlibat dalam perhimpunan awam, hadir ke sesi Parlimen.

“Kalau mereka ini positif, Parlimen pun terpaksa kuarantin,” tegasnya lagi.

Post a comment

0 Comments