Jangan jadikan undi rakyat terlalu murah - Faiz Fadzil


MUHYIDDIN Yassin wajar melepaskan jawatan sebagai perdana menteri sekiranya calon dari Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu mendapat sokongan majoriti.

Seorang pemimpin gabungan itu, Muhammad Faiz Fadzil berkata, tiada keperluan untuk pilihan raya mengejut diadakan dalam tempoh terdekat sama ada di peringkat pusat mahupun negeri dan menegaskan bahawa ketika ini adalah wajar untuk perdana menteri baharu dilantik berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Negeri memperuntukkan tempoh bagi sesuatu pilihan raya selama lima tahun dan seharusnya ia dihormati dan dipatuhi.
https://t.me/kartelmedia
“Walaupun Langkah Sheraton membawa kepada kejatuhan kerajaan HARAPAN di peringkat Persekutuan dan negeri Johor, Melaka, Perak dan Kedah , perubahan ini berlaku adalah kerana pengkhianatan oleh wakil rakyat.

"Pilihan Raya mengejut akan melibatkan kos yang tinggi sehingga mencecah hampir RM1 bilion serta penglibatan rakyat yang tidak bersalah,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu.

Sementara itu, Faiz turut mengulas tindakan Umno yang mendesak supaya pilihan raya mengejut diadakan.

Jelasnya, desakan itu adalah suatu tindakan tidak bermaruah setelah mereka mengkhianati undi rakyat yang telah pun memilih HARAPAN menerajui kepimpinan negara melalui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Umno sewajarnya tidak bersekongkol dengan pengkhianat untuk membentuk kerajaan dan menambah luka pengkhianatan ini.

“Rentetan itu, desakan ini merupakan satu tindakan tidak bermaruah dan Umno dilihat memandang enteng undi rakyat dan menjadikan undi begitu murah seolah-olah ianya tidak mempunyai nilai, ” ujarnya.

Post a comment

0 Comments