Kaji semula kadar sewa - Bekas Timbalan Menteri


KENAIKAN sewa tanah kepada pekebun sayur-sayuran di Cameron Highlands oleh pihak pentadbiran negeri Pahang dikritik.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Zin mendakwa, kenaikan sehingga RM4,500 itu dibimbangi akan menyebabkan kos operasi ditanggung pengusaha tani meningkat dan akan menyebabkan bebannya ditanggung pengguna.

Kerajaan Negeri Pahang menurutnya perlu melakukan semula kajian terhadap kadar sewa itu.

“Jika kos (sewa tanah) meningkat, pekebun terpaksa menaikkan harga sayur-sayuran dan beban itu akan dipindahkan kepada pengguna.

“Kita rakyat Malaysia akan mengalami kenaikan barang, ini akan beri impak negatif yang sangat-sangat serius kepada keselamatan bekalan makanan negara kerana harga makanan jadi mahal,” kata bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu dalam satu sidang media.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong.

Difahamkan sebelum ini pengusaha tani itu hanya membayar Lesen Pendudukan Sementara (LPS) sebanyak RM900, peningkatan harga sewaan mendadak sehingga 500 peratus menurutnya dilihat tidak munasabah.

Ia jelasnya akan menjejaskan lebih 2,000 orang pekebun di Cameron Highlands.
https://t.me/kartelmedia
Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini dipetik berkata seramai 1,018 pekebun sayur di Cameron Highlands yang sebelum ini beroperasi di tanah berstatus LPS akan ditawarkan meneruskan operasi mereka menerusi sewaan berdaftar.

Sementara itu, Chiong menggesa agar kerajaan Pahang mempertimbangkan harga kadar sewaan tersebut.

Tambahnya, pekebun Cameron Highlands sudah berdepan banyak cabaran sejak bermula perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan kekangan pekerja dan sayur-sayuran tidak terjual.

Post a comment

0 Comments