Kanak-kanak 6 tahun dihanyutkan arus Sungai Perak


SEORANG
kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Perak.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Danish Irfan Mohd Baharudin dilaporkan keluar mandi di sungai berhampiran rumah mereka di Kampung Loh bersama kembar dan kakaknya dengan ditemani ibu saudaranya sebelum dihanyutkan arus deras kira-kira jam 2 petang semalam.

Susulan itu satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan bagi mencari Mohd Danish.

“Operasi SAR digerakkan membabitkan 53 anggota melibat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dan Kuala Kangsar, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan darat," kata Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin.

Difahamkan operasi pencarian dilakukan dengan kaedah pencarian permukaan dan menyusuri tebing sungai di lokasi mangsa terjatuh hingga ke Jambatan Sultan Iskandar Shah yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian.

Operasi pencarian ditangguh sementara pada jam7 petang semalam dan akan disambung semula pagi ini.

Perangai aneh


Sementara itu, Mohd Baharudin Mohd Nor, 38, bapa kepada kanak-kanak berkata, Mohd Danish ada menunjukkan perangai aneh sebelum kejadian.

“Dia minta tidur bersama saya malam semalam dan pelukan dia sangat erat dengan cium berkali-kali seolah-olah tahu dia akan pergi,” katanya.

Mohd Baharudin turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat anaknya itu dengan menaiki bot milik nelayan darat lain mengharapkan jasad anaknya itu dapat ditemui segera.

“Sungai ini luas, saya berdoa agar dia segera ditemui dalam keadaan sempurna," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments