Keluarga Adib dilapor mahu saman polis


KELUARGA anggota bomba yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman dekat Petaling Jaya pada 27 November 2018 dilapor mahu memulakan tindakan sivil terhadap pasukan polis.

Peguam mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim berkata, pihaknya berpegang pada pandangan bahawa punca kematian anggota bomba itu akibat dipukul seperti keputusan hasil inkues di Mahkamah Koroner.

“Kami masih berpegang kepada pandangan sebelum ini (bahawa Adib dipukul).

“Kami akan mulakan tindakan sivil terhadap polis dalam masa terdekat.

"Saman ini bagi menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis mengawal keadaan pada hari kejadian yang kemudiannya menyebabkan kematian Adib,” kata peguam Mohd Kamaruzaman A Wahab dipetik FMT.
https://t.me/kartelmedia
Tindakan sivil itu diumuman Mohd Kamaruzaman selepas Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador membuat kenyataan bahawa  masih tidak ada saksi yang dipanggil memberi keterangan benar-benar menyatakan melihat Adib dipukul.

Abdul Hamid berkata, kesemua keterangan yang diperoleh pihaknya adalah bersifat dengar cakap dan juga pendapat.

Keluarga Adib dipetik laporan itu mendakwa kenyataan Abdul Hamid adalah bercanggah dengan dapatan koroner dalam inkues.

Bagaimanapun Abdul Hamid menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan bahawa polis tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.


Abdul Hamid turut menegaskan bahawa usaha-usaha mengenal pasti pelaku jenayah masih dijalankan.

“Tidak ada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang dalam sidang media yang dibuat.

"Segala fakta yang diberikan adalah hasil siasatan dan dapatan terkini. Ia bukan untuk menyanggah hasil daripada keputusan inkues,” katanya.

Mahkamah Koroner pada 27 September tahun lepas memutuskan Adib menemui ajal akibat perbuatan pihak ketiga yang menyerang dan memukul beliau dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 November 2018.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar inkues kematian anggota bomba itu memutuskan perkara itu setelah berpuas hati dengan keterangan saksi sepanjang prosiding.

Post a comment

0 Comments