Kes aktif Covid-19 kini menurun kepada 85


KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia kini kurang daripada 100 kes.

Menurut Noor Hisham, seramai 62 pesakit telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang telah pulih dan keluar daripada wad adalah seramai 8,437.

Sementara sehingga 12 tengah hari ini, hanya tiga kes baru direkodkan membabitkan satu kes import dan dua jangkitan dalam negara.

"Kedua- dua kes penularan di dalam negara pula adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada kes di kalangan warganegara Malaysia dilaporkan pada hari ini," katanya dalam kenyataan.

Dengan perkembangan terbaru itu, kini hanya tinggal 85 pesakit aktif diasingkan untuk rawatan.

Daripada jumlah itu, dua kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.
 
Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan dan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 kekal 121 kes.

Post a comment

0 Comments