Laluan Tampin - Kuala Pilah ditutup sementara


PENGGUNA
jalan Tampin-Kuala Pilah (Laluan Persekutuan FT009 Seksyen 23.6) dinasihatkan menggunakan beberapa laluan alternatif bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan destinasi masing-masing.

Gesaan itu dikeluarkan  Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah, Ir Mohd Faizul Mohd Ali susulan penutupan sementara laluan itu kepada semua jenis kenderaan.

Menurut Mohd Faizul, laluan tersebut ditutup bermula malam tadi hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak disebabkan struktur jambatan di Seksyen 23.6 di kawasan Johol didapati tidak selamat dan boleh membahayakan keselamatan kepada pengguna jalan raya.

“Jambatan itu merupakan jambatan lama yang dibina sekitar tahun 1950an yang terletak di kawasan agak rendah dan sering berlaku hakisan akibat hujan lebat, sekali gus mengakibatkan strukturnya tidak lagi selamat.

“Kita mengambil keputusan untuk menutup laluan tersebut buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu pengguna dari Tampin ke Kuala Pilah boleh melalui Laluan N14 (persimpangan Inas) – Laluan N123 (Inas – Senaling) – Laluan N24 dan masuk semula ke FT009 (Persimpangan Pekan Senaling).

“Selain itu, laluan alternatif kedua, pengguna dari Kuala Pilah ke Tampin akan melalui laluan N22 (Senaling – Kepis) – laluan N17 (Bahau – Dangi) dan masuk semula ke persimpangan FT009, Johol,” katanya.

Mohd Faizul turut menasihatkan pengguna sentiasa mematuhi arahan serta papan tanda disediakan JKR bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Post a comment

0 Comments