Lelaki mati kerana percaya Covid-19 wabak palsu


SEORANG  lelaki berusia 30 tahun dari Texas, Amerika Syarikat (AS) dilapor maut akibat COVID-19.

Memetik laporan AFP, lelaki itu dijangkiti Covid-19 selepas menghadiri 'parti COVID-19' anjuran pesakit wabak itu. Mangsa sebelumnya menganggap bahawa wabak itu adalah palsu.

"Pesakit yang disahkan dengan wabak COVID-19 menganjurkan parti untuk menjemput rakan untuk melihat sama ada mereka boleh mengalahkan penyakit berkenaan," kata Ketua Pegawai Perubatan Hospital Methodist di San Antonio, Jane Appleby melalui rakaman video yang disiarkan oleh media AS, pada Ahad.

Tambah Appleby, mangsa mengakui tersilap mengenai wabak itu setelah dia disahkan telah dijangkiti wabak berkenaan.

"Perkara yang meruntun hati adalah apabila mangsa mengakui kepada jururawat bahawa dirinya sudah melakukan kesilapan.

"Selama ini dia berasakan bahawa COVID-19 adalah palsu. Mangsa berasakan dia muda, tidak akan kalah atau dijangkiti wabak ini," kata Appleby sambil menambah bahawa pesakit dari golongan muda kadang-kala tidak sedar bahawa jangkitan terhadap mereka sudah berada di peringkat serius, " katanya sambil meminta orang ramai mengambil serius berhubung risiko wabak itu.

Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, pada Ahad mendesak pembukaan semula sekolah sepenuhnya pada musim luruh, walaupun terdapat gelombang baharu jangkitan COVID-19 di mana ramai pihak menyalahkan generasi muda.

Malah, peningkatan mendadak kes COVID-19 di Florida menimbulkan persoalan terhadap usaha negara itu untuk mengatasi wabak berkenaan.

Sehingga kini, AS merekodkan jumlah kes dan kematian tertinggi di dunia. Bagaimanapun sebahagian penduduk negara itu beranggapan wabak itu hanya propaganda semata-mata dan mereka tidak mahu mengambil sebarang langkah pencegahan termasuk melakukan jarak sosial dan memakai penutup muka.

Post a comment

0 Comments