Lemas bersama basikal dalam tali air


SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilapor maut selepas terjatuh ke dalam tali air.

Dalam kejadian di Kepala Batas itu, Muhammad Firash Darwisy Azlan dikatakan terjatuh ke dalam tali air di Jalan Permatang Sungai Dua, Kampung Pokok Simpor itu kira-kira jam jam 6.15 petang semalam.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Yusni Mansor yang dipetik satu laporan berkata, mangsa berjaya dibawa naik oleh orang awam yang menyedari kejadian itu.

Bagaimanapun, mangsa menurutnya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kepala Batas yang dipanggil ke lokasi kejadian.
https://t.me/kartelmedia
"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 6.20 petang dan terus bergegas ke lokasi.

"Sampai di lokasi kejadian didapati terdapat seorang mangsa kanak-kanak lelaki Melayu berumur 6 tahun telah terjatuh di dalam tali air.

"Mangsa telah berjaya dinaikan ke darat oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kehilangan Muhammad Firash disedari kakak mangsa yang keluar mencari selepas mangsa tidak pulang ke rumah.

Kakak mangsa kemudian keluar mencari adiknya dan telah terlihat sepasang kasut kanak-kanak terapung  di dalam tali air berkenaan.

Dia kemudian meminta bantuan penduduk kampung yang kemudian turun ke dalam tali air itu untuk mencari mangsa sebelum menemui basikal milik mangsa dan seterusnya jasad kanak-kanak malang itu.

Siasatan mendapati, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam tali air yang mempunyai kedalaman dua meter bersama basikalnya.

Sementara itu, bapa mangsa, Azlan Zakaria berkata, beliau yang sejak seminggu lalu sibuk bertugas di Kuala Lumpur mahu pulang awal ke Pulau Pinang untuk membuat kejutan buat Muhammad Firash hari ini, namun sebaliknya berlaku.

 "Saya sengaja tak nak bagitau sesiapa saya nak balik hari ini sehinggalah menerima panggilan daripada anak perempuan sulung mengatakan adik lelakinya hilang sebelum mematikan telefon.

"Lebih kurang 15 minit kemudian, anak perempuan menghubungi saya semula dan mengatakan terjumpa basikal adiknya di tali air sebelum memberitahu anak lelaki saya sudah meninggal dunia," katanya.

Post a comment

0 Comments