Lim Guan Eng saran lanjut moratorium hingga Mac


PUTRAJAYA
disaran menyambung penangguhan bayaran pinjaman yang akan berakhir pada akhir September.

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata, langkah itu perlu ketika berhadapan keadaan ekonomi yang memburuk, orang ramai tidak bersedia untuk meneruskan pembayaran pinjaman mereka.

"Kadar pengangguran telah naik mendadak dari 3.2 peratus pada bulan Januari kepada 5 peratus pada bulan April 2020.  Kadar bulan April ini adalah yang tertinggi dalam beberapa dekad.

"Ia akan naik lebih tinggi lagi kerana banyak syarikat masih lagi dalam proses memberhentikan pekerja mereka.

"Di kala keadaan ekonomi yang semakin teruk, ramai rakyat Malaysia dan banyak perniagaan tempatan tidak bersedia untuk menghadapi tamatnya tempoh moratorium ke atas bayaran balik pinjaman mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Ahli parlimen Bagan itu berharap Putrajaya dapat melanjutkan tempoh moratorium sehingga ekonomi pulih atau sekurang-kurangnya untuk empoh enam bulan lagi sehingga akhir Mac 2021.

"Sebarang perlanjutan akan membantu rakyat biasa merancang obligasi kewangan mereka dengan lebih baik, dan meringankan sebarang kesukaran hidup.

"Tiada gunanya kita memufliskan sesiapa dan memburukkan kemelesetan ekonomi yang kita harungi bersama sekarang," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments