Lokanathan dakwa tapak surau, dipindah ke syarikat berkaitan MIC


SEORANG bekas pemimpin parti politik mendakwa beberapa bidang tanah di Sungai Siput, Perak yang diperuntukkan bagi membina kemudahan rakyat telah dipindah milik kepada sebuah syarikat perladangan.

M Lokanathan, bekas Ketua Bahagian MIC mendakwa tanah itu pada awalnya digazetkan untuk pembinaan surau, kuil balai raya, sub stesen LLN (Lembaga Letrik Negara), pasar untuk penduduk kawasan perumahan Taman Tun Sambanthan di Sungai Siput.
 
menurutnya, syarikat terbabit merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh MIC pada lewat tahun 60an.

"Saya ke pejabat tanah di mukim Kuala Kangsar berurusan satu kes tanah. Tetapi, saya rasa terkejut selepas mendapati tapak-tapak yang sebelum ini digazet untuk pembinaan pasar, tempat ibadat dan institut latihan belia dipindah milik hak ke atas syarikat itu.

"Lebih pelik, tapak yang telah membina balai raya, surau, sub stesen LLN turut dipindah milik," katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Gesa siasatan segera
Lokanathan kemudian membuat laporan polis mengenai perkara itu,.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri Perak menyiasat isu tersebut kerana ia berkaitan kepentingan rakyat terutama di Sungai Siput.

"Saya nak MB Perak dan pihak polis mengambil langkah sewajarnya. Bagaimana, boleh ditukar milik? Siapa dalang di belakang ini?" soalnya.

Lokanathan yang dipetik laporan itu turut mengemuka dokumen Catatan Carian Persendirian daripada Pejabat Tanah Mukim Kuala Kangsar sebagai bukti dakwaannya.

Difahamkan dokumen Catatan Carian Persendirian dikeluarkan oleh pejabat tanah menunjukkan semua tapak hanya berukuran 111.5 meter persegi telah dipindah milik hak kepada syarikat perladangan itu pada 12 Ogos 2004 walaupun saiz asal setiap tapak ini berbeza.

"Nampaknya, syarikat itu telah memecahkan tapak ini kepada lot kecil untuk tujuan tertentu.

"Kategori kegunaan tanah juga telah ditukar kepada untuk pembinaan bangunan (kediaman-kediaman kos rendah)," katanya lagi.

Ada permohonan pembinaan rumah

Sementara itu, bekas exco kerajaan negeri Perak, A Sivanesan dilapor berkata bahawa sepanjang pengetahuannya, syarikat perladangan itu tidak pernah memberi sebarang tanah alternatif sebelum memindah hak milik tapak-tapak tersebut.

Adun Sungkai itu turut memberitahu bahawa kerajaan negeri Perak di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) menolak satu cadangan pembinaan kawasan perumahan di situ pada tahun lalu.

"Tahun lepas, sebuah syarikat pembangunan yang diketuai oleh seorang pemimpin MIC, membuat permohonan untuk cadangan pembinaan rumah di dua daripada enam tapak dimaksudkan. Tapi, kerajaan negeri menolak," katanya.
 

Post a comment

0 Comments