Mahathir hilang pengaruh, kini sendirian


ULASAN | Tahun 2020 sepatutnya menjadi tahun kebanggaan Dr Mahathir Mohamad. Namun, setakat Julai, 2020 nampaknya tidak menyebelahi Mahathir.

Tindakan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri (PM) demi untuk mendirikan sebuah kerajaan perpaduan yang tidak lagi dibelenggu dan diikat oleh janji manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) yang tidak masuk akal dan perjanjian menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim merupakan kesilapan percaturan politik Mahathir terbesar setakat ini.

Klik sini - Dapatkan lebih berita dan informasi semasa

Bukan sahaja Mahathir hilang peluang menjadi PM semula, malah kini beliau kehilangan pengaruh bukan sahaja dalam kalangan ahli politik kawan mahupun lawan tapi juga kehilangan kepercayaan daripada rakyat.

Timmy Say
Kehilangan pengaruh Mahathir dalam kalangan rakan politik dapat dilihat melalui penolakan terhadap 2 cadangan mengenai calon perdana menteri PH Plus.

Cadangan pertama di mana Mahathir kembali menjadi PM dan Anwar sebagai Timbalan perdana menteri (TPM) tidak diterima sebulat suara. Cadangan kedua di mana Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal menjadi PM dan Anwar dan anak Mahathir, Mukhriz dilantik sebagai TPM juga akhirnya ditolak majlis presiden PH semalam.

Penolakan majlis presiden HARAPAN terhadap cadangan Shafie sebagai PM dan memberikan kuasa penuh kepada Anwar untuk membuat rundingan tamparan hebat kepada Mahathir.

Mahathir kini bersendirian tanpa parti bersama 4 ahli Parlimen bebas yang enggan bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di PPBM.

Apakah yang bakal dilakukan Mahathir selepas ini?

Apakah Mahathir akan menghormati keputusan HARAPAN untuk mencalonkan Anwar sebagai PM dan membantu memujuk rakan politiknya agar mendukung Anwar sebagai PM?

Jika beliau boleh melakukannya demi Shafie, mengapa tidak Anwar?

Sejauh manakah Mahathir dapat memegang Warisan agar terus bersamanya dan pembangkang memandangkan usaha untuk merampas kembali kerajaan kini menemui jalan buntu?

Apakah Mahathir ingin menunggu nasib Najib di mahkamah sebelum melakukan gerakan politk terakhir?

Seterusnya, apakah Mahathir akan berbaik semula dengan Muhyiddin kerana HARAPAN terbukti tidak mahu mendengar cadangannya?

Nyawa politik Mukhriz kini bergantung sepenuhnya kepada gerakan politik ayahnya. Apakah Mukhriz akan kembali ke PPBM ataupun Umno?

Tiada apa yang pasti. Yang pasti pengaruh Mahathir sudah menjunam ke tahap yang menyebihkan di tahun 2020. Siapa sangka Wawasan 2020 yang diramal Tun menjadi mimpi ngeri yang ingin dilupakan.


TIMMY SAY merupakan seorang jurutera semikonduktur yang membenci sikap hipokrit manusia.

Tulisan ini pertama kali disiarkan di FMT dan ia tidak mencerminkan pendirian rasmi Kartel.

Post a comment

0 Comments