Menteri Komunikasi dituntut letak jawatan


MENTERI Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dituntut melepaskan jawatannya setelah didakwa melakukan tiga episod 'salah langkah'.

Gesaan itu dibuat Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil setelah berlaku rasa tidak puas banyak pihak terhadap kenyataan Saifuddin semalam yang menyentuh  ketetapan syarat pelesenan filem di bawah undang-undang.

Melalui satu kenyataan, Fahmi berkata, penjelasan Saifuddin mengenai kenyataannya sebelum ini di Dewan Rakyat masih gagal menjawab persoalan utama yang ditimbulkan mengenai apakah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) 1981 akan dikenakan untuk pengguna media sosial.

"Saya kira, selepas tiga episod ‘salah langkah’ sejak dilantik menjadi menteri [...] sudah tiba masanya YB Menteri Komunikasi dan Multimedia letak jawatan," kata Ahli Parlimen Lembah P antai itu.

Fahmi turut menyatakan Saifuddin sebelum ini telah membuat kesilapan apabila melantik Eric Paulsen ke Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia, yang kemudiannya ditarik balik selepas dipertikai.

Juga pembatalan peruntukan spektrum jalur komunikasi kepada beberapa syarikat tanpa tender terbuka selepas dikritik pelbagai pihak.

Semalam Saifuddin dikritik setelah dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa lesen dari Finas diperlukan untuk semua aktiviti penggambaran di Malaysia, termasuk untuk kegunaan peribadi di media sosial.
Saifuddin kemudian tampil menjelaskan bahawa kerajaan tidak berniat untuk menggunakan akta tersebut untuk menyekat kebebasan peribadi.

Fahmi, bagaimanapun, mengatakan kontroversi berhubung isu itu dapat dielakkan sekiranya Saifuddin menyatakan dengan jelas sama ada pengguna media sosial di platform berasaskan video seperti TikTok akan dikenakan syarat lesen atau tidak.

"Saya berpandangan kenyataan terbaru Menteri ini berniat ‘mencari jalan keluar’ untuk meredakan kemarahan netizen.

"Kenyataan beliau sebenarnya masih tidak menyatakan dengan jelas bahawa lesen Finas tidak diperlukan oleh pengguna media sosial di pelantar seperti TikTok, YouTube, dan sebagainya," kata Fahmi.

Post a comment

0 Comments