Mod kerja dari rumah, Ceupacs saran beri elaun khas


KERAJAAN
Perikatan Nasional (PN) digesa memberi elaun khas kepada penjawat awam jika pelaksanaan mod bekerja dari rumah mahu diteruskan.

Gesaan itu dibuat Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya golongan tersebut dapat menanggung sebahagian daripada kos utiliti kediaman mereka

Presidennya, Adnan Mat berkata, pelaksanaan konsep bekerja dari rumah membolehkan kerajaan menjimatkan kos utiliti di pejabat-pejabat kerajaan.
https://t.me/kartelmedia
"CUEPACS menyokong penuh jika kerajaan berhasrat meneruskan pelaksanaan bekerja dari rumah kerana ia satu perkembangan yang baik dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam di Malaysia.

"Dalam hal ini, perkhidmatan awam di Malaysia bertuah kerana berjaya mengaplikasikan konsep ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu," katanya dipetik satu laporan media.

Sementara itu jelas Adnan, walaupun ada kelemahan dalam pelaksanaan konsep berkenaan, ia boleh ditambah baik pada masa akan datang.

"Bekerja dari rumah adalah normal baharu yang boleh diamalkan dalam sektor pekerjaan termasuk swasta. Bukan sahaja dari sudut keselamatan dan kebajikan pekerja, malah memberi kebaikan kepada majikan sendiri," katanya lagi.

Bagaimanapun tambahnya, pelaksanaan bekerja dari rumah tidak boleh dilakukan tergesa-gesa.

Kerajaan katanya, perlu menentukan atau mengkaji terlebih dahulu kesesuaian sektor yang boleh melaksanakan konsep bekerja seperti itu sebelum diperluaskan ke sektor lain dalam perkhidmatan awam.

"Sebagai contoh, kerja yang sesuai dilaksanakan dari rumah mestilah perkhidmatan yang tidak memerlukan kakitangan berhadapan dengan pelanggan. Jika jabatan terbabit memerlukan kakitangan berurusan dengan pelanggan secara langsung, maka konsep ini tidak sesuai.

"Implikasi lain yang perlu diberi perhatian adalah integriti penjawat awam. Jika tugas itu membabitkan maklumat rahsia kerajaan atau perolehan kewangan, sudah tentu ia berisiko untuk dilaksanakan jika bekerja dari rumah," katanya.

Post a comment

0 Comments