NGO desak henti perladangan di Hutan Simpan Kekal


SEKUMPULAN 
NGO alam sekitar menggesa supaya aktiviti komersial penanaman spesies tunggal (monokultur) di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) tidak dibenarkan sama sekali.

gesaan itu dibuat Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meor Abdul Razak Meor Abdul Rahman yang merujuk kepada aktiviti "ladang hutan".

Katanya,  ekosistem hutan simpan - termasuk pokok yang dilindungi - sering dibersihkan untuk memberi jalan bagi tanaman monokultur (spesies tunggal) untuk tanaman seperti durian Musang King dan getah.

Hal itu tegasnya  tidak hanya "bertentangan" dengan keanekaragaman hutan, ia juga menjejaskan hidupan liar dan penduduk masyarakat setempat seperti Orang Asli yang bergantung pada hutan untuk makanan dan tujuan lain.

"Ladang adalah kawasan pertanian secara monokultur berskala besar yang dipenuhi tanaman.

"Manakala hutan pula terbentuk secara semulajadi oleh tumbuh-tumbuhan dan mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi dan melakukan pelbagai fungsi ekologi.

"Kami berpendirian dasar berhubung menggalakan melaksanakan ladang monokultur dalam kawasan hutan simpan kekal perlu dimansuhkan," kata Meor pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor semalam.

Desakan itu hadir ketika kerajaan kini dalam proses menyelesaikan versi terbaru Dasar Perhutanan Malaysia.

Ganggu fungsi ekologi
Meor sementara itu turut mempersoalkan alasan yang sering disebutkan untuk mengubah hutan simpan menjadi ladang hutan - bahawa cadangan tersebut telah menjadi "hutan miskin", atau hutan yang rosak.

"Jabatan Perhutanan mentakrif hutan miskin sebab tidak ada kawasan tidak ada lagi pokok yang bernilai komersial.

"Tapi bagi orang yang ada latar belakang biologi, dia bukan ambil kira itu, dia ambil kira keseluruhan ekosistem hutan itu sendiri.

"Maknanya kita tak semestinya tengok pokok di kawasan tidak ada pokok balak. Tetapi dia mesti ada ekosistem yang lain. Ada kehidupan yang lain, contohnya herba, jenis spesies yang sesuai untuk kehidupan komuniti setempat," tegasnya lagi.

Selain Meor, wakil empat NGO lain turut hadir hari ini - Aktivis Greenpeace Malaysia Heng Kiah Chun, Presiden Kuasa Hafizudin Nasarudin, penyelaras Klimaaction Malaysia Illi Nadiah Dzulfakar dan presiden Grass Malaysia Mohd Yusaimi Md Yusof.

Meor turut membentangkan kepada peta dan senarai syarikat konsesi yang menunjukkan sejauh mana penanaman tersebut dijalankan di hutan simpan kekal di Kelantan, Kedah, Perak, Pahang dan Terengganu.

Dasar sedia ada hari ini tambahnya perlu pembaikan bagi memastikan kelestarian dapat dijamin dan dipelihara.

"Dalam dasar yang sedia ada ini, seolah-olah pihak kerajaan menggalakkan pelaksanaan ladang monokultur dalam hutan simpan kekal.

"Ini bermakna dalam hutan simpan kekal, status tanah tu masih hutan simpan kekal tapi dari segi penggunaan tanah telah ditukar (kepada ladang)," katanya.

Post a comment

0 Comments