Petronas perlu jelaskan isu peletakan jawatan CEO


PETRONAS digesa memberi penjelasan dengan terperinci berhubung peletakan jawatan  jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang lebih awal dari tarikh kontraknya bulan lalu.

Gesaan itu dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melihat peletakan jawatan Wan Zulkiflee Wan Ariffin selepas hampir 4 dekad bersama syarikat minyak dan gas multinasional senagai "mengundang banyak persoalan”.

“Rakyat jelas tertanya-tanya apakah rencana sebenar di sebalik perletakan jawatan tersebut dan ini mesti dijelas dan diperincikan tanpa lengah.

"Petronas juga telah menyangkal laporan agensi berita Rauters yang mendakwa peletakan jawatan tersebut berkait rapat dengan kerajaan Negeri Sarawak,” katanya.

Difahamkan, tarikh kontrak Wan Zulkiflee sepatutnya berakhir pada April 2021. Sebelum ini, kontraknya diperbaharui mulai 1 April 2018 untuk tempoh 3 tahun.

Reuters, memetik beberapa sumber, berkata Wan Zulkiflee meletak jawatan selepas tidak bersetuju dengan Muhyiddin Yassin berhubung rancangan membayar RM2 bilion cukai jualan kepada kerajaan Sarawak.

Menurut laporan itu, bayaran tambahan itu akan memberi kesan pada Petronas dan belanjawan negara ketika pandemik koronavirus memberi kesan pada harga minyak.

Ia juga dibimbangi boleh menimbulkan tanda tanya mengenai pengurusan kewangan kerajaan.

Petronas menafikan laporan itu, syarikat minyak negara itu juga dilapor dalam proses perbincangan dengan kerajaan Sarawak untuk mencapai penyelesaian komersial “yang sesuai”.

Sementara itu,  Anwar tertanya apakah ada campurtangan kerajaan dalam peletakkan jawatan Wan Zulkiflee.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu turut  menarik perhatian kepada penilaian semula unjuran Malaysia dan Petronas dari stabil ke negatif oleh badan penarafan S&P Global Ratings baru-baru ini.

“Apa yang dibimbangi badan tersebut adalah mengenai campurtangan kerajaan dalam Petronas. Ia juga menggesa agar dijelaskan berkaitan bayaran yang dibuat kepada Sarawak,” katanya.

Anwar turut memberi amaran bahawa ketidakstabilan di Petronas akan memberi kesan yang negatif kepada ekonomi dan mengesankan pelabur.

“Kegagalan Petronas untuk meleraikan persoalan-persoalan ini akan mengundang ketidakpercayaan yang akan mengeruhkan lagi keadaan semasa,” tegasnya melalui satu kenyataan media.

Post a comment

0 Comments