PN perlu jelaskan kenapa pilih projek kos lebih tinggi


KERAJAAN
Perikatan Nasional (PN) perlu menjelaskan rasional kepada keputusan untuk mengembalikan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke jajaran asal.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar berkata, isu tersebut wajar dijelaskan kerana jajaran asal itu akan memakan kos lebih tinggi berbanding jajaran yang dicadangkan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN).
https://t.me/kartelmedia
Tambahnya, langkah itu ketika Malaysia dijangka berdepan situasi ekonomi tidak menentu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

“Dengan mengabaikan proses rundingan dan mengembalikan semula kepada kos asal bagi saya ia adalah (tindakan) yang tidak bertanggungjawab.

“Yang saya rasa aneh ialah setelah rundingan itu dibuat, kemudian kembalikan kepada projek asal.

“Kamu (PN) harus jelaskan kepada Parlimen dan kepada orang ramai (mengenai cadangan ini),” katanya dipetik.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson membangkitkan isu tersebut apabila diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk mengembalikan jajaran asal ECRL.



Klang Gates Quartz Ridge

Berdasarkan pelan asal jajaran tersebut oleh BN sebelum ini, ECRL itu akan melalui Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menuju ke Selangor melalui Gombak dan ke Serendah serta Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, HARAPAN kemudiannya mencadangkan jajaran ECRL itu tidak melalui Bentong dan Gombak seperti yang dirancang, sekali gus mengelakkan keperluan untuk terowong 17.8km yang memakan kos tinggi melalui Klang Gates Quartz Ridge, khazanah alam semulajadi rabung kuarza tulen terpanjang di dunia.

Bekas menteri pengangkutan era HARAPAN, Anthony Loke turut memaklumkan dengan mengecualikan pembinaan terowong itu, Malaysia dapat menjimatkan kos sebanyak RM21.5 bilion.

Sementara itu,  Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu menegaskan bahawa beliau setuju jika rundingan semula untuk jajaran baru dibuat untuk mengurangkan kos, tetapi bukan sebaliknya.

“Saya tak faham mengapa kerajaan sekarang memilih untuk kepada kos asal yang jauh lebih tinggi. Apa kepentingan? Siapa wakil? Siapa yang kutip komisen? Siapa yang ada kepentingan perdagangan di situ?

“Perundingan harus diadakan untuk pertama, mengurangkan kos sebanyak mungkin, kedua, memberi manfaat seramai mungkin,” katanya lagi.

Sebagai rekod, keputusan Pentadbiran Muhyiddin itu turut dikritik seorang wakil rakyat Umno.

Jalaluddin Alias (Jelebu) mahu Putrajaya mengekalkan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diusahakan kerajaan HARAPAN.

Jalaluddin berkata jajaran ECRL yang dirancang kerajaan HARAPAN dengan melalui Jelebu dapat merancakkan pembangunan di Daerah itu agar tidak ketinggalan berbanding daerah lain.

"Tidak ada sebab mengapa ia perlu diubah kembali," katanya dipetik satu laporan.

Post a comment

0 Comments