Polis cari pemandu toyota DX terjunam dalam sungai


PIHAK
polis sedang mengesan seorang pemandu kenderaan jenis Toyota DX yang terjunam ke dalam sungai bersebelahan Jalan Kuching.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata buat masa ini pihaknya sedang mengesan pemandu kereta terbabit yang dikatakan cedera ringan.

"Saksi awam memaklumkan pemandu kereta terbabit berjaya menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan.

"Beliau dikatakan beredar dari tempat kejadian sejurus kemalangan untuk ke klinik berhampiran yang tidak dapat dipastikan lokasinya," katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4.50 pagi itu, pemandu kereta itu yang dalam perjalanan dari arah Jalan Kuching ke Bulatan Dato Onn dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di situ.

Semakan polis mendapati kereta berkenaan didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 23 tahun dan beralamat di Taman TTDI Jaya, Selangor.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan, memaklumkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan Hang Tuah melaksanakan kerja mengeluarkan kenderaan itu dari sungai.

Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan kerja mencari dan menyelamat di tempat kejadian untuk memastikan tiada mangsa terperangkap dalam kenderaan.

Post a comment

0 Comments