Rujuk ucapan rasis automatik ke JK parlimen - Kasthuri


SEORANG
pemimpin pembangkang mencadangkan pindaan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dijalankan bagi memastikan Ahli Parlimen yang membuat kenyataan rasis dan seksis tidak terlepas dari tindakan.

Cadangan itu disuarakan Kasthuriraani Patto (HARAPAN-Batu Kawan) dengan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36, beliau menyarankan supaya wakil rakyat yang membuat kenyataan tidak sepatutnya itu dirujuk secara automatik ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen dan didenda tidak kurang dari RM500.

Katanya, Speaker mempunyai kuasa dalam Peraturan Mesyuarat 83(5) untuk memanggil mesyuarat Jawatankuasa Peraturan-peraturan bagi membincangkan perkara tersebut.
https://t.me/kartelmedia
“[...] Maka perubahan ini dapat direalisasikan dalam masa yang singkat, dan saya sudi dipanggil untuk memberikan keterangan atas cadangan pindaan kepada Jawatankuasa Peraturan-peraturan mesyuarat,” katanya lagi.

Sejak beberapa tahun lalu, rakyat melahirkan rasa tidak senang dengan sikap ditonjolkan beberapa Ahli Parlimen.

Ia susulan sikap tidak bertanggungjawab sebahagian ahli politik yang gemar mencela pihak lain dengan melontar kenyataan berbaur perkauman dan bersifat menghina.

Minggu lalu, Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim diarah membuat permohonan maaf terhadap Kasturi susulan kenyataan dibuatnya.

Abdul Azeez mengungkapkan ayat ‘gelap tak nampak’ ketika Kasthuri bangun mencelah bagi mempersoalkan mengenai ketiadaan wanita sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih.

“Saya telah meneliti hansard dan mengambil keputusan bahawa perkataan tersebut adalah offensive (bersifat menghina) dan saya ingin meminta Yang Berhormat Baling memohon maaf dan menarik balik perkataan tersebut," kata Speaker ketika mengeluarkan arahan itu.

Post a comment

0 Comments