Selangor teliti semula pelaksanaan SOP cegah Covid-19



KERAJAAN Negeri Selangor bakal meneliti semula pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 di negeri itu.

Langkah itu susulan Kerajaan Negeri berpandangan bahawa rakyat di Selangor telah gagal mematuhi SOP selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan sejak 10 Jun lepas.

"Perkara ini (kegagalan patuhi SOP) sudah saya jangka dari awal sejak pelaksanaan PKPP, sebab itu saya sering ingatkan rakyat supaya patuh pada SOP.

"Kita akan nilai balik (SOP) kerana apabila kita buka (kebenaran untuk sektor ekonomi beroperasi) adalah mustahil untuk tutup segera dan di sini, kita juga memerlukan keputusan daripada Kerajaan Persekutuan," kata Menteri Besar, Amirudin Shari dipetik laporan Bernama.

Beliau berkata pada masa sama, kerajaan negeri akan mengemas kini inisiatif 'SELangkah,' iaitu sistem pendaftaran dalam talian untuk pengesanan kontak yang diperkenal sebelum ini bagi individu memasuki mana-mana premis di Selangor.

"Selain mengemas kini sistem itu yang bertujuan untuk memastikan rakyat sentiasa patuh pada amalan SOP ditetapkan, orang ramai juga boleh membuat aduan sekiranya ada premis yang tidak mengamalkan jarakan sosial atau tidak menyediakan cecair pensanitasi tangan," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengerah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah melahirkan rasa bimbang atas peningkatan jumlah kes harian kes Covid-19.

Ia susulan peningkatan kembali kes aktif melebihi 100 kes sejak 19 Julai 2020.

Post a comment

0 Comments