Sesudah memeluk politik


ULASAN
|  Benarlah apabila dikatakan bahawa kita adalah apa yang dilakukan oleh kawan-kawan di sekeliling kita.

Apabila berkawan, kita saling pengaruh-mempengaruhi. Kemudian yang kuat dalam kalangan kita akan menjadi ikutan.

Begitu juga dalam politik. Apabila berkawan, akan ada yang lebih kuat berbanding lain. Kemudian demi kuasa partai-partai yang bergabung itu kemudian akan bersedia melepaskan apa juga 'perjuangan' yang dibawa. Seperti yang dikatakan tadi: demi kuasa.

Apa yang penting pada mereka - yakni partai politik - ialah berkuasa. Selepas daripada itu maka melaksanakan apa juga perjuangan asal sesebuah partai akan menjadi sangat mudah - kata mereka.
https://t.me/kartelmedia


Lalu partai yang tidak berapa kuat akan mengikut kata kawan yang paling kuat dalam antara mereka.

Sudah nyata di depan mata kita. Misalnya pada tahun-tahun sang reformis kononnya terjun ke lapangan terbuka dan umum untuk membaiki apa yang kita lihat sebagai kerakusan penguasa.

Kononnya hanya dengan cara bergabung dan mengenali musuh, apa jua kejahatan dalam politik akan dapat dibetulkan.

Akhirnya, perjuangan untuk berkuasa menjadi agenda utama siapa pun yang mengaku mahu membaiki labu - yang kini hanya tinggal kulit saja.

Menjek sambil terkinja-kinja

Mungkin kerana ada sesetengah pihak melihat kemenangan dalam politik adalah tanda betapa mereka diredai tuhan atas segala susah-payah selama berpartai, maka apa juga jenis kesepakatan akan dipersetujui demi meraih kemenangan.

Lalu mendapatlah kita apa yang kita miliki hari ini yakni sekumpulan politikus yang kerjanya saban hari adalah semata-mata merendah-rendahkan lawan masing-masing.

Tidak pernah ada perbincangan yang siuman bagi ahli politik. Semua medan yang tersedia untuk mencari cara membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negara kini menjadi perang sesama beruk.

Terkinja-kinja mengejek lawan selagi boleh dan tersenyum puas apabila menyangka telah mematikan hujah kawan dan lawan melalui caci-maki.

Nampaknya hanya setakat itu sajalah perjuangan mereka sebagai ahli politik, iaitu menjadi pak lawak yang sentiasa mengejar punch line demi untuk mendapat sorak-sorai.

Menang dan memiliki jawatan besar menjadi penanda bagi politikus bahawa mereka telah sampai ke puncak kejayaan.

Apa yang perlu hari ini ialah sebuah kawasan tanah perkuburan khas bagi para politikus ini agar apabila tiba masanya nanti - sesudah mereka mati - bolehlah dilakukan aktiviti memuja dan memuji bakti mereka oleh generasi akan datang.

Harta untuk pertahankan kuasa

Muak kita memerhatikan betapa mereka langsung tidak mempedulikan rakyat. Hal itu kerana mereka tahu, selama mana kita sanggup makan di telapak tangan mereka, maka selama itulah kita ini akan menjadi hamba tebusan ahli politik.

Kami sentiasa tidak setuju dengan ayat "sudah tua pun bodoh" kerana impak kata-kata ini untuk satu jangka masa lama adalah, ia mungkin akan menghilangkan rasa hormat pada warga emas.

Namun kami memahami rasa sakit hati golongan muda apabila melihat betapa bingainya politikus yang telah terlalu lama berada di puncak tetap berbuat sesuka hati mereka. Semuanya kerana mereka berasa sangat selesa begitu.

Tidak ada lagi politikus yang berpuas hati serta memahami makna kalah. Semuanya kerana - bagi mereka - dapat duduk di kerusi Dewan Rakyat adalah impian yang mesti ditunaikan walau apa pun rintangan yang menghalang.

Dengan cangkuk atau dengan cepuk - selagi tidak berkuasa - selagi itulah ‘perjuangan’ partai untuk agama dan negara duduk di anak tangga nombor dua.

Berhati-hatilah memilih kawan. Dalam politik, memiliki harta yang banyak adalah satu keperluan kerana ia akan menjamin kemenangan.

Lebih daripada itu ia diperlukan sebagai asas untuk mempertahankan kemenangan tersebut.

PAS dengan rasminya 'mati' sebaik saja mereka memeluk politik yang selama ini mereka cuba hindari.


ABDULLAH JONES
adalah seorang pelukis, penulis buku, penyajak, penulis blog dan online columnist.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis. Pertama kali disiarkan di Malaysiakini dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia.

Post a comment

0 Comments