Shafie Apdal masih ada sokongan - Christina Liew


KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal didakwa masih mendapat sokongan majoriti Adun di negeri itu.

Kenyataan itu dibuat Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew susulan sidang media oleh Musa Aman yang mendakwa telah cukup sokongan dari Adun di negeri itu.

“Shafie Apdal masih menjadi Ketua Menteri…beliau mempunyai semua sokongan kami,” kata Liew yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah selepas menghadiri pertemuan di kediaman rasmi Shafie malam tadi.
Terdahulu, Musa yang merupakan bekas ketua menteri Sabah dilaporkan berkata, beliau mempunyai majoriti mudah untuk mengambil alih pentadbiran dan membentuk kerajaan negeri baru.

Katanya, beliau akan menemui gabenor Sabah tidak lama lagi untuk menyerahkan akuan berkanun yang ditandatangani Adun pelbagai parti yang menyokongnya.

Musa, bekas ketua menteri di era BN, harus membuktikan dia mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 33 Adun dalam dewan undangan negeri untuk membentuk kerajaan baru.

Jika majoriti dapat dibuktikan, gabungan itu akan mengambil alih tampuk kepimpinan negeri daripada Warisan pimpinan Ketua Menteri Shafie Apdal, yang juga sekutu Dr Mahathir Mohamad.

Sabah mempunyai 65 anggota dewan undangan negeri (Adun), termasuk lima Adun dilantik.

Dipercayai 10 hingga 12 Adun sudah berpaling tadah dan menyokong Musa, bagaimanapun ia tidak dapat disahkan.

Sebagai rekod, pada Jun lalu, hkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Musa Aman daripada semua empat puluh enam tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan kontrak konsesi balak di Sabah.

Tidak lama selepas itu, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah memfailkan tuntutan terhadap Musa bagi menuntut RM872 juta didakwa hak milik Yayasan itu yang didakwa hilang disebabkan perjanjian aktiviti pembalakan yang meragukan.

Post a comment

0 Comments