Solat Jumaat pertama di Hagia Sophia selepas 86 tahun.


BUAT
pertama kalinya selepas 86 tahun, umat Islam di Turki bakal menunaikan Solat Jumaat di Hagia Sophia.

Dalam sidang media pada Khamis, Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya memaklumkan orang ramai tidak sabar untuk menantikan detik bersejarah itu setelah bangunan bersejarah itu dibuka semula sebagai masjid sejak 24 Julai lalu.

Bagaimanapun, disebalik keterujaan ramai orang itu, beliau turut mengingatkan jemaah agar membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda.

Sementara jelasnya, pihak berkuasa akan mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk menyediakan ruang solat berbeza bagi mengelakkan orang ramai berkumpul pada satu-satu masa.

Bagi langkah-langkah keselamatan pula, pihak berkuasa jelasnya akan menjalankan kawalan ketat termasuk penutupan beberapa stesen kereta api sebelum dan ketika solat Jumaat sedang berlangsung.
https://t.me/kartelmedia
Sebagai rekod, bangunan Hagia Sophia - atau Ayasofia - dibina empayar Rom Timur sebagai gereja besar pada abad keenam Masihi sebelum diubah menjadi masjid oleh kerajaan Uthmaniyah pada 1453.

Statusnya sekali lagi bertukar apabila kerajaan sekular Turki menjadikannya muzium pada 1934.

Lebih 50 tahun kemudian Hagia Sophia diiktiraf UNESCO sebagai sebahagian daripada Kawasan Bersejarah Tapak Warisan Dunia Istanbul.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada minggu lalu mengumumkan penukaran status Hagia Sophia setelah mahkamah membatalkan status muzium di tapak tersebut.

Post a comment

0 Comments