Umat Islam sambut Aidiladha Jumaat hadapan


UMAT ISLAM di negara ini bakal menyambut Aidiladha pada Jumaat (31 Julai).

Tarikh bagi sambutan itu ditetapkan susulan pengumuman Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman, malam tadi.

Menurut Mohd Aseral, perkara itu telah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1441 Hijrah ialah pada 22 Julai 2020 Masihi.

"Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Jumaat, 31 Julai 2020," katanya menerusi pengumuman yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM). 
Sementara itu, kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Aidilfitri akan diguna pakai ketika sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Memetik laporan media, sambutan Aidiladha hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja dengan jumlah maksimum 20 orang dalam satu rumah.

Prosedur asas seperti penjarakan sosial dan kebersihan diri mestilah dipatuhi.

Post a comment

0 Comments