11 kes baru, 9 penularan tempatan.



MALAYSIA
mencatatkan 11 kes baru Covid-19 setakat jam 12:00 tengah hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dua daripada kes itu membabitkan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara

Dua kes itu membabitkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang mendapat jangkitan dari Filipina dan Indonesia.

Dengan perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 9,285 kes.

Mengenai sembilan kes penularan dalam negara, beliau berkata kesemuanya melibatkan rakyat tempatan dengan tujuh kes di Kedah termasuk lima daripada Kluster Tawar.

Menurut beliau satu kes melibatkan saringan prapembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan satu lagi kes melibatkan saringan bergejala.

Sementara itu, di Selangor melibatkan satu kes dalam siasatan yang mana kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sementara di Perlis merupakan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Tuanku Fauziah, katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan enam kes telah pulih Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu sebanyak 8,971 kes iaitu 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 189 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

"Lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana enam kes memerlukan bantuan pernafasan," jelasnya lagi.

Post a comment

0 Comments