Abdul Azeez ada kaitan dengan syarikat didakwa rasuah - Saksi


PEMIMPIN Umno Abdul Azeez Abdul Rahim dan ahli keluarganya ada kaitan dengan empat syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes rasuah melibatkan beberapa projek jalan raya di Perak dan Kedah, kata seorang saksi.

Muhamad Akmaludin Abdullah membuat pengakuan itu ketika memberi keterangan  pada hari pertama perbicaraan rasuah Abdul Azeez dan abangnya Abdul Latif di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur siang tadi.

Dalam prosiding itu Akmaluddin yang tampil sebagai saksi pendakwaan kedua berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) ada meminta beliau menyemak maklumat mengenai empat syarikat yang dikaitkan itu pada 10 Ogos 2018.

Sebagai rekod, Akmaluddin merupakan penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Menurut Akmaluddin, hasil carian di SSM mendapati bahawa Azeez dan isterinya Khadijah Mohd Noor adalah pemegang saham dalam Menuju Asas Sdn Bhd, Azman Azeez Properties (M) Sdn Bhd, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd dan Azeera Properties (M) Sdn Bhd.

Manakala keempat-empat anak pasangan itu - Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa dan Khaleeda Azeera - memegang jawatan sebagai pengarah dalam keempat-empat syarikat itu.

Semua hasil penemuan itu menurutnya telah disampikan kepada agensi anti rasuah itu.

"Merujuk surat (SPRM kepada SSM) bertarikh 10 Ogos 2018, ia adalah surat untuk mendapatkan maklumat mengenai syarikat berikut.

"Antaranya adalah Menuju Asas Sdn Bhd, Azman Azeez Properties (M) Sdn Bhd, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd dan Azeera Properties (M) Sdn Bhd. Saya telah memeriksa syarikat-syarikat itu," kata Akmaludin ketika memberi keterangan di hadapan hakim Azura Alwi.

Pada 16 Januari tahun lalu, Abdul Azeez yang merupakan Ahli parlimen Baling didakwa atas tiga pertuduhan rasuah menerima RM5.2 juta yang melibatkan beberapa projek jalan raya di Perak dan Kedah dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM140 juta.

Pada hari sama, Abdul Latif didakwa dengan dua pertuduhan didakwa bersubahat dengan Abdul Azeez untuk melakukan kesalahan tersebut.

Post a comment

0 Comments