Abdul Ghani Salleh dilantik pengerusi SPR


BEKAS 
setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai pengerusi baru suruhanjaya itu.

Pelantikan Abdul Ghani adalah sebagai menggantikan Azhar Harun, yang mengosongkan jawatan itu pada 29 Jun untuk mengambil alih jawatan speaker Dewan Rakyat.

Pelantikan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan Abdul Ghani dan Nik Ali sehingga mencapai usia 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

“Melalui kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, diyakini mereka akan dapat menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Ahli SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghani, 62, bersara sebagai setiausaha SPR pada 10 Mei 2018. Beliau pernah memegang beberapa jawatan sebelum itu antaranya Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat dan Pegawai Daerah Gombak, Selangor.

Sementara itu, Nik Ali Mat Yunus dilantik sebagai ahli SPR bagi menggantikan Ramlan Ibrahim.

Ramlan, 63, yang dilantik pada Febuari lalu belum mencapai usia persaraan wajib 66 tahun namun dilapor meletakkan jawatan pada 1 Ogos.

Nik Ali, 62, pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi sebelum bersara wajib pada 19 Mei 2018.

Sebagai rekod, Perlembagaan Persekutuan menghendaki Yang di-pertuan Agong melantik pengerusi SPR, timbalan pengerusi dan lima ahli. Berdasarkan Artikel 114 (3), eksekutif tidak dapat dengan sewenang-wenangnya menyingkirkan ahli SPR kecuali melalui tribunal.

Post a comment

0 Comments