Agihan kerusi PRN Sabah perlu saksama - AMK



PEMBAHAGIAN kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan perlu dilaksana secara saksama.

Setiausaha Pemuda KEADILAN, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, untuk kekal mentadbir negeri itu, tidak ada mana-mana parti kerajaan sebelum ini menganggap diri mereka dominan di Sabah.

Justeru, pembahagian kerusi anatra Pakatan Harapan (HARAPAN) dan parti di Sabah, termasuk Warisan perlu dilakukan dengan adil dan mengutamakan semangat setiakawan.

“Sewajarnya tiada parti yang boleh dianggap dominan untuk menguasai lebih banyak kerusi.

“Jika ada parti yang akan mendapat lebih banyak kerusi, ia mesti diputuskan atas semangat setiakawan dan secara praktikal bagi menjamin kemenangan,” katanya.

Khamis lalu, Ketua Menteri, Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada PRN yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Situasi politik di Sabah yang sedia panas memuncak apabila bekas ketua menteri, Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.
Syukri sementara itu berkata, AMK menyambut baik keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai langkah terakhir bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Malah AMK turut sedang mempersiapkan calon muda untuk diketengahkan dalam PRN tersebut bagi memastikan pentadbiran negeri dapat dikekalkan.

“Paling penting, Pemuda PKR akan mengetengahkan calon berkualiti dan berprinsip bagi mengelakkan berulangnya pengkhianatan mandat rakyat,” katanya.
 
Sebanyak 73 kerusi DUN bakal dipertandingkan dalam PRN Sabah kali ini berbanding 60 kerusi pada PRU14.

Post a comment

0 Comments