Ahli PAS diseru tidak undi BN

 PENYOKONG parti PAS di kawasan Dewan Undangan Slim diseru agar tidak mengundi calon Barisan Nasional (BN) esok.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad membuat seruan itu sambil mengingatkan penyokong parti berkenaan kepada peristiwa pengkhianatan yang membawa jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pimpinan PAS di Perak pada tahun 2009.

“Kita menyeru ahli PAS yang masih mengingati pengalaman politik khianat pada tahun 2009 untuk menilai.

"Apa berlaku di Perak, merupakan satu tindakan yang dikutuk Almarhum tok guru Nik Aziz.

“Atas semangat hormat pada Tok guru Nik Aziz, kita menyeru Pas kembali kepada pendirian dan dasar politik berakhlak dan bermaruah dengan menyuarakan bantahan terhadap tindakan politik khianat yang dah dibudayakan sekarang ini,” katanya.

Bekas Menteri Wilayah persekutuan itu sebelumnya hadir dalam satu sesi ramah mesra sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Sementara itu, Khalid menegaskan calon yang dimomokkan sebagai calon PN tidak mewakili gabungan longgar itu.

Sebaliknya, calon yang bertanding ketika ini sedang menggunakan lambang ‘dacing’ iaitu logo parti BN dan bukannya menggunakan lambang gabungan PN.

“Jangan cakap lah ini calon PN, bohong. Lambang pun lambang dacing.

“Pas bila bersama dengan PN, tenggelam. Calon pun guna lambang BN, parti yang dulu memulakan budaya politik khianat di Perak sekarang mengulanginya dan kita seru ahli Pas bantah dan tolak.

“Kita tahu Pas tak selesa dengan apa yang berlaku di pentas politik dan hala tuju Pas sekarang ini,” tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang dicalonkan oleh Parti Pejuang Tanah Air yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S. Santharasekaran.

Hampir 23,000 pengundi layak mengundi pada PRK itu esok.
 

Post a comment

0 Comments