Assyahid kucing


ULASAN
| Kenapakah ada di antara manusia memilih melakukan dosa? Kucing itu memikir dan memikir dan memikir sepanjang ia tenggelam. Kucing itu bingung dan buntu. Air yang banyak sedang menerpa mata, hidung dan mulutnya. Ia sedang dilanda gempuran air dan busa sabun yang mencurah-curah sehingga ia melihat tompok-tompok whiskas di Firdausi.


Inilah yang menebuk-nebuk benak kucing itu di saat paling akhir ia bergelut dengan kematian.

Dosa, bukan mesti al-atham iaitu kelakuan tidak senonoh. Atau al-Fahsha yang merangkumi jenayah, perbuatan jahat, kerja khianat dan tikam belakang. Juga bukan setakat al-dhanb iaitu kesalahan. Al-atham dari segi bahasa Arabnya, bahasa asal agama Islam; adalah pelbagai urusan yang mendatangkan rugi untuk meraih ganjaran syurgawi. Sesuatu yang terlarang. Itulah sebabnya pembunuhan kucing di dalam dobi awam satu dosa.

Kata al-dhanb itu pengertiannya mengandungi ketidakadilan dan kemalangan di hujung. Kucing itu, yang kemudian dari rencana ini akan terbunuh di dalam mesin dobi awam; masih memikir dan memikir. Kucing itu pernah mendengar betapa Imam Jaafar Sadiq pernah mengatakan, al-fahsha itu ialah kecurangan dan perampasan hak.

Curang. Ambil hak orang.
https://t.me/kartelmedia
Kucing itu merasakan alangkah baiknya dia tidak menjadi manusia dan rela syahid dalam pusaran mesin dobi tersebut. Kerana itu lebih baik dari menjadi manusia yang saban detik tergiur melakukan kecurangan, dan sentiasa terpesona untuk merampas hak yang lain dari patut punyanya.

Kucing itu benar mengetahui bahawa, pengertian dosa yang tertinggal dalam kalangan manusia; yang tidak manusia beri perhatian adalah penindasan dan tirani. Mengapa manusia mahu melakukan dosa. Mengapa dalam banyak-banyak urusan yang boleh dilakukannya, manusia ingin tetap berdosa?

Kucing itu, di alam rohnya pernah disabdakan oleh Sang Insan Sempurna; bahawa dosa terjadi kerana banyak sebab.

Sebab musabab pertama adalah cinta dunia. Kucing itu pernah membaca satu nukilan Saidina Ali yang entah mungkin disebut oleh Shirazi, atau Rumi atau Annemarie Schimmel bahawa “dunia tanpa kawal itu ibarat ular berbisa. Kulitnya ular sangatlah halus dan lembut tetapi di dalamnya tersimpan racun berbisa. Yang jahil akan mengambilnya, sedang yang bijaksana akan menghindari”.

Tentu yang mendorong manusia melakukan dosa, fikir kucing itu di saat paling akhir nyawanya direnggut malaikat, adalah – setan. Ini kerana setan musuh yang tersangat abadi. Pun, setan tidak akan dapat memperdaya, jika manusia itu tidak tertumpaskan oleh nafsu.

Pertempuran dengan nafsu itu, menurut kucing yang memerhati kehidupan manusia sehari semalam saban detik, pertempuran paling epik. Menyaksikan pertempuran itu, kucing bersyukur tidak sampai menjadi manusia. Ini kerana nafsu itu ada macam-macam jenis dan tingkatan. Nafsu itu ada aneka pengkelasan. Nafsu manusia B40 tentu berbeza dengan nafsu manusia M40; tentu pula tidak terbanding dengan nafsu manusia T20. Itu sebabnya kucing itu mendapati terdapat banyak manusia yang berbalah dengan nafsu akan berakhir kalah.

Kalau pun setan kuat melanda, dan nafsu tidak terbendung lagi; akan tetapi jika ilmu di dada penuh melimpah; kadang-kala manusia akan tetap beroleh kekuatan untuk menentang rasukan dosa.

Kucing itu pernah menonton drama di Laut Merah. Bagaimana sekumpulan pengikut seorang Nabi yang membelah samudera, kekal tergamak mengingkari utusan Tuhan. Ini meskipun setelah mukjizat terjadi di depan mata. Melihat keajaiban laut terbelah itu tidak memadai rupanya untuk mereka akhirnya menjadi rancu dan memilih nafsu setan lantas mengabdikan diri kepada Iblis.

Musa, nabi tersebut yang berkelana 40 hari di sebuah bukit pulang melihat pengikutnya sudah melalut. Musa yang terkejut bertanyakan kepada adiknya Harun, apa yang terjadi? “Wahai Harun!”

Kucing itu tidak pasti apa jawapan Harun. Mungkin Harun menjawab, setiap pendosa arif seninya. Yakni arif dalam seni melakukan dosa. Kata kucing itu, the art of sin.

Itu semua, menurut kucing yang mati dalam pusaran dobi awam adalah satu kejahilan yang patutnya dapat diatasi. Inilah sebabnya manusia diminta belajar dan menuntut lagi belajar dan terus menuntut.

Akan tetapi ada satu lagi pesen manusia yang menurut kucing tidak lagi dapat dirawat. Mereka, manusia ini menjadi jahat kerana keperibadian jahat sudah sebati dalam diri. Itulah sebab-musabab kedua. Terlepas dari godaan setan, nafsu dan kejahilan yang saling berangkai di atas; manusia juga menjadi celaka dan melakukan dosa kerana kejahatan itu dapat diwarisi. Ada manusia yang memang jahat dari tulang sulbi kerana kejahatan itu diturunkan daripada Qabil, membawa kepada segala keturunan cucu-cicitnya, mengalir dalam Namrud, dalam darah Firaun dan mereka yang biadab menentang pesuruh Tuhan.

Ini bermakna manusia itu memang jahat. Seperti manusia yang membubuhnya dalam mesin dobi awam untuk terbunuh.

Kucing itu juga tahu, ada keperibadian yang tercela kerana ia memilih melakukan dosa. Mengapa ia kekal memilih dosa? Kerana persekitaran. Kucing itu pernah bingung melihat tuannya yang dahulu percaya perompakan dan perampasan hak misalnya sebagai dosa – hari ini – tuannya itu adalah bahagian dari perompakan dan pencabulan hak.

Persekitaran yang begitu korup mengakibatkan manusia turut korup.

Terdapat satu kisah yang pernah kucing itu dengarkan. Kisah 2 orang pagan di Mekah bernama Aqaba ibn Mabat dan Abi ibn Khalaf. Kedua-duanya bersahabat baik. Kegemaran Aqaba ialah menjamu orang. Dia kerap menganjurkan kenduri kendara dan mengajak ramai tetangga makan sekali. Salah seorang yang sering diundang ialah Nabi Muhammad.

Kucing itu mendengar Nabi Muhammad pernah sekali mengajak Aqaba untuk memeluk agama Islam. Aqaba yang kasih dan kagumi akan perangai elok Nabi mengucapkan 2 kalimah syahadah. Akan tetapi temannya, Abi ibn Khalaf mempengaruhi. Kata Abi, Kita putus kawan jika kamu memasuki blok sebelah sana. Kata Abi, kekallah bersama-sama daku. Aqaba menurut kawan. Dia rela ikut kawan. Turut punya turut menjadi pak turut, Aqaba menyertai perang Badar di sebelah orang musyrikin dan terbunuh.

Sedang Abi pula terbunuh di medan Uhud, juga dalam kem korup dan penuh rasuah.

Nah, kucing ingin manusia memerhati sejarah betapa salah memilih kem akan membawa padah. Itulah firman Allah dalam ayat 27-29 surah Al-Furqan, terjemahannya:

“Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: ‘Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)’.”

Ayat di atas memperihalkan kekesalan Aqaba kerana salah memilih kem atau blok. Perikatannya dengan Abi ternyata tidak cukup tabayyun dan berakhir dengan padah hampa. Kucing itu hanya menggeleng kepala seraya mengusap kaki depan sebelah kirinya.

Ada satu lagi sebab musabab yang assyahid kucing itu lihat sepanjang pemerhatian hayatnya. Bahawa manusia melakukan dosa yakni dalam pengertian penindasan dan tirani itu kerana salah memilih pemimpin. Itu akan menjadi sebab-musabab ketiga mengapa manusia sering berpihak kepada dosa.

Perihal salah memilih ketua ini dinyatakan berkali-kali oleh Tuhan. Dalam ayat 170, surah al-Baqarah terjemahannya:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka ‘Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah’ mereka menjawab, ‘(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya’. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?”

Maka kucing itu melihat dalam hidupnya yang singkat tersebut, betapa ramai manusia membuta tuli membuat sesuatu, yakni membuntut sahaja apa yang disuruh ketuanya atas alasan wala’ sedangkan perbuatan yang mereka lakukan itu berlumuran dosa di tangan, turun ke jari-jemari dan menitis pada peluh, dakwat dan darah.

Demikianlah dalam benak kucing itu tatkala ia dimasukkan dalam mesin dobi, dilemaskan dalam air sabun yang membuatnya tercungap dan tenggelam. Itulah yang berlegar dalam otak kecilnya. Ketika kemudian jasadnya dikeringkan dalam hawa panas membahang, kucing itu sudah melihat whiskas di Firdausi. Itulah yang difikirkan oleh kucing itu di saat akhirnya, pada waktu nazaknya; yakni tatkala ia menemui Penciptanya.

Kucing itu disambut dengan penuh bahagia di sorgaloka. Dari atas sana, ia sedang melihat telatah manusia sambil menggeleng kepala. Ia sedang melahap whiskas serasa bahagia.

Kucing itu melihat manusia di bumi masih tergiur memilih dosa. Bahawa manusia, lelaki dan perempuan sedang melakukan pelbagai babak kehidupan yang merugikan. Yang akan membuat mereka kelak kesal.

Kucing itu hanya berdaya menggeleng kepala, dasar Busa Dobi! Sebelum menjilat belakang badan seraya mengiau betapa lekanya manusia, sungguh betapa.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis. Pertama kali disiarkan di portal FMT dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia.

Post a comment

0 Comments