Azan gesa pertimbang tambah kerusi Parlimen di T'ganu


PENGERUSI
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Terengganu, Azan Ismail berpandangan kerajaan Negeri Terengganu wajar penambahan kerusi parlimen berbanding kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Jelasnya, di negeri itu secara purata lapan kerusi parlimen memiliki lebih 100,000 pengundi dan Kawasan Parlimen pula mempunyai sehingga empat kerusi DUN.

"Kalau di negeri-negeri lain kebanyakannya, setiap parlimen mempunyai dua atau tiga kerusi Dun. Sebaliknya di sini ada empat kerusi DUN dalam setiap parlimen.

"Jadi keperluan sebenar adalah dengan menambah kerusi parlimen supaya koordinasi perkhidmatan kepada rakyat akan lebih efektif. Suara wakil rakyat di peringkat parlimen lebih penting," katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Pandangan itu dibuat selepas Dipertua DUN Terengganu, Yahaya Ali berkata kerajaan negeri bercadang untuk menambah bilangan kerusi Dun.

Menurut Yahya, cadangan tersebut bersesuaian dengan pertambahan penduduk di Terengganu selain memastikan wakil rakyat di satu-satu kawasan DUN dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan.

Bagaimanapun Azan menegaskan, Kerajaan PAS Terengganu perlu memikirkan untuk menambahkan suara ahli-ahli parlimen bagi meningkatkan pembangunan ekonomi rakyat dan bukan mencari jalan menguatkan parti atau 'menyediakan kerusi kepada kawan-kawan untuk bertanding'.

"Mereka perlu berpandangan jauh, kita harus sedar sekian lama tiada pertambahan untuk kerusi Parlimen dan Dun sejak 30 tahun lalu. Jadi perlu melihat apa perkara yang menjadi keutamaan.

"Jika kerajaan negeri hanya fikir nak tambahkan kerusi DUN, ia akan menyukarkan lagi koordinasi antara ahli Parlimen. Takkan satu parlimen nak letak di bawahnya lima DUN.

"Jadi saya sarankan kerusi parlimen dahulu diutamakan. Mungkin boleh tambah antara empat ke enam kerusi. Kemudian daripada situ difikirkan untuk tambah beberapa kerusi Dun bagi mewujudkan keseimbangan," jelasnya.

Sementara itu Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah berpendapat, cadangan menambah kerusi DUN boleh dipertimbangkan jika ia di lakukan dengan adil mengikut taburan bilangan penduduk sebenar.

"Setiap kawasan hendaklah (disesuaikan) mengikut bilangan penduduk bilangan yang puratanya lebih kurang sama dan seimbang.

"Tempoh pameran kawasan yang dicadangkan hendaklah mencukupi untuk rakyat memberi pandangan serta ulasan," katanya menurut laporan serupa.

Post a comment

0 Comments