Azmin dilapor tak disenangi, punca MIC keluar PN


KETERLIBATAN
Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa antara punca MIC menarik diri daripada gabungan tersebut.

Malaysiakini, dalam laporannya hari ini memberitahu, dakwaan itu dibuat sumber dari parti itu yang dirujuk sebagai seorang pimpinan tertinggi MIC.

Azmin, bekas timbalan Presiden KEADILAN yang kini menyertai bersatu tambah sumber itu dilihat cuba mengawal parti-parti lain dalam gabungan PN.

Tindak tanduk Azmin itu jelasnya tidak disenangi oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

"MIC tidak dapat berjabat tangan dengan Azmin. Beliau sentiasa cuba menguasai yang lain. Meminggirkan rakan lain dalam gabungan PN," kata sumber berkenaan.

Sumber yang dirujuk portal itu turut memberi contoh dimana tiada seorang pun ahli MIC dipilih bagi mengisi 200 Jawatan Penggerak Komuniti Tempatan (JKPT) yang ditubuhkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Tiada satu diberikan kepada MIC. Jadi, gabungan macam mana ini," kata sumber yang enggan identitinya didedahkan.

Dipetik laporan sama, sumber itu turut mempersoal pembahagian jawatan yang menyebabkan MIC, MCA dan Umno yang berada dalam gabungan itu seolah-olah terpinggir.

"Di Kedah, dalam pembahagian kerusi ahli majlis, Umno telah dipinggirkan oleh kumpulan ini. Tidak mustahil MIC bertindak meletak jawatan empat ahli majlis yang dipegangnya di Kedah buat masa ini," katanya lagi.

Tindakan Bersatu membuka keahlian kepada bukan Melayu juga didakwa tidak disenangi oleh MIC.

"Mereka kata PN ini satu gabungan bersama. Jadi, apa masalah bagi penyokong-penyokong Azmin yang bukan Melayu menyertai MIC atau parti lain selain Bersatu," soal sumber tersebut.

Semalam, MIC menarik diri daripada menyertai PN selepas Umno juga membuat keputusan serupa. MIC menghantar surat ditandatangani Setiausaha Agung MIC, M Asojan Muniyandy kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk menyatakan keputusan parti berkenaan.

Post a comment

0 Comments