Azmin pembohong, kata bekas menteri kewangan


MENTERI
Persekutuan, Mohamed Azmin Ali dibidas dan dianggap sebagai seorang pembohong apabila mendakwa menteri kewangan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) enggan mengeluarkan peruntukan tambahan bagi menangani Covid-19.

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng berkata, dakwaan Azmin bahawa nyawa rakyat Malaysia terancam di bawah HARAPAN adalah tuduhan liar yang tidak berasas.

Malah dakwaan dibuat Azmin dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim itu tiada disokong dengan apa-apa bukti.

“Semasa menangani Covid-19, bekas Menteri Kesihatan boleh sahkan bahawa kerajaan berjanji akan berikan segala sumber yang ada termasuk sumber kewangan.

"Ini untuk memastikan bahawa petugas barisan hadapan boleh menjalankan tugas mereka sebaik mungkin.

“Apa yang dituduh Azmin jelas sekali adalah serangan politik yang melampaui batas kerana dakwaan tidak benar sama sekali," tegas Ahli Parlimen Bagan itu.

Semalam, Azmin dalam kempen dihadapan penduduk Slim mendakwa pentadbiran HARAPAN sebagai gagal dan akan menyebabkan lebih banyak kematian berlaku sekiranya terus berkuasa.

Siaran media peruntukan tambahan
Dalam apa yang disifatkan serangan politik terhadap Lim itu, Azmin menuduh Lim enggan mengeluarkan peruntukan bagi menangani penularan Covid-19.

“Saya minta kalau boleh tunjuk bukti, tunjuklah sekarang.

"Jangan buat tuduhan seperti ini, tuduhan liar yang tidak berasas,” tegas Lim dalam sidang media di Parlimen.

Sebagai rekod, pada Januari, ketika pendemik Covid-19 mula menyerang dunia Lim sebagai menteri kewangan meluluskan peruntukan tambahan.

Ia bagi mendapatkan 12 pengimbas suhu badan secara segera oleh Kementerian Kesihatan untuk ditempatkan di semua pintu masuk negara.

Peruntukan itu diluluskan secara serta-merta dengan alasan bersifat kritikal bagi menyekat penularan Covid-19 dan perlindungan kesihatan awam.

Post a comment

0 Comments