Bekas menteri agama saman Harakah


BEKAS
menteri di jabatan perdana menteri bagi hal ehwal agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof memfailkan saman fitnah terhadap media rasmi milik PAS, Harakah.

Ia susulan laporan yang disiar portal pada 7 Februari serta dalam edisi cetak pada 10 hingga 13 Feb lalu yang dianggap berniat jahat untuk menjatuhkan maruah, kredibiliti dan reputasinya yang ketika itu adalah menteri agama.

Laporan itu difahamkan berkaitan usahawan Nur Sajat yang mencetus kontroversi dengan memuat naik gambar di Instagram ketika memakai pakaian wanita semasa berada di Makkah.

Noorazmin Zakarian, peguam mewakili bekas menteri di jabatan perdana menteri bagi hal ehwal agama itu mengesahkan saman berkenaan telah difailkan melalui Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir pada 12 Ogos lalu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mereka menamakan wartawan Harakah, Aziz Muda, ketua pengarangnya, Wan Nordin Wan Yaacob, pengendali portal dalam talian itu, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd, dan pencetak akhbar itu Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd, masing-masing sebagai defendan pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Memetik laporan Malaysiakini, defendan gagal dan/atau enggan dan/atau cuai untuk mematuhi notis tuntutan pada 20 Feb berkenaan laporan itu.

Mujahid sebagai plaintif menuntut perintah mahkamah untuk mentaksirkan, kerugian am, dan teladan yang perlu dibayar plaintif dalam masa 14 belas hari daripada tarikh penghakiman.

Mujahid juga menggesa satu injuksi bagi menghalang defendan daripada terus mengulas, memberi komen, mengulangi dan/atau menerbitkan kenyataan yang berunsur fitnah terhadap dirinya.

Dia turut menuntut faedah lima peratus ke atas ganti rugi dari tarikh writ saman hingga penyelesaian penuh, termasuk kos lain dari mahkamah.

Sebagai alternatif, Mujahid memohon perintah mahkamah supaya defendan membuat permohonan maaf secara terbuka, yang akan dimuat naik dan disiarkan di akhbar tempatan yang berbahasa Melayu dalam tempoh 14 hari.

Mujahid juga menuntut defendan menarik balik laporan yang diterbitkan itu sama ada di portal dalam talian serta versi cetak Harakah dan tidak mengulangi kenyataan tersebut.

Mujahid juga meminta defendan mengemukakan surat aku janji untuk tidak akan menulis dan/atau melaporkan kenyataan-kenyataan dan/atau perkataan-perkataan yang berunsur fitnah terhadap dirinya.

Sementara itu menurut peguam, notis tunjuk sebab juga telah diserahkan kepada keempat-empat defendan pada Khamis.

“Notis (tunjuk) sebab telah diberikan kepada peguam bagi defendan pertama, kedua serta defendan ketiga,” katanya dengan menambah surat tunjuk sebab juga telah diserahkan kepada defendan keempat secara langsung," kata Noorazmin.

Post a comment

0 Comments