Bersatu tak layak dalam MN, kata Ku'Li


PENGERUSI Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah pemimpin parti itu dalam Kabinet Kerajaan Muhyiddin yassin agar segera berundur daripada jawatan masing-masing.

Kenyataan mengejutkan itu dibuat Tengku Razaleigh susulan pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersedia membuka keanggotaan kepada bukan Melayu sebagai ahli parti.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang itu, langkah terbaharu parti pimpinan Muhyiddin itu menjadikan BERSATU tidak lagi layak untuk berada Muafakat Nasional yang dipelopori Umno dan PAS.

"UMNO tidak pernah menjadi anggota kerajaan Perikatan Nasional (PN), hanya kita memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan ini.

"Dengan berlakunya perubahan diumumkan oleh BERSATU, wajar ahli-ahli UMNO yang menganggotai Kabinet sekarang berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan sekarang.

"Ini patut dilakukan secepat mungkin supaya kita tidak membuang masa memberi tumpuan kepada masalah yang lebih besar ," dipetik sebahagian kenyataannya.

Selasa lalu,  Muhyiddin berkata, Bersatu sedia meminda Perlembagaan parti bagi membolehkan penyertaan kaum lain termasuk memegang jawatan dalam parti itu.
 
Sementara pada Khamis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Chong Fat Full, mengesahkan sudah menyertai Bersatu pada Sabtu lalu.

Sebelumnya, Ahli Parlimen Segamat, Santhara Kumar menjelaskan beliau menyertai parti itu atas prinsip dan kerelaan sendiri.

"Saya terbuka hati tanpa tekanan atau paksaan dari mana-mana pihak, saya menyertai parti Bersatu dan saya telah mendapat restu daripada rakan-rakan perjuangan saya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin," katanya pada sidang media pada awal Ogos lalu.

Untuk rekod, Bersatu diterima masuk Muafakat Nasional pada 13 Ogos dan Muhyiddin menyatakan persetujuan menyertai gabungan itu pada 18 Ogos.

Sementara itu, Tengku Razaleigh membuat gesaan agar usul supaya pemimpin Umno segera keluar dari kerajaan Muhyiddin dibawa ke perhimpunan agung Umno tidak lama lagi.

Adik bongsu nak jadi 'Along'

Bekas timbalan presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir sebelum ini menyifatkan keputusan bekas partinya untuk menyertai MN sebagai perkara yang luar biasa.

Ini kerana jelasnya, amalan yang biasa dipakai  adalah Perdana Menteri menjadi pengerusi kepada gabungan politik yang terbesar.

"Tetapi saya tak tahu adakah MN akan setuju mengangkat beliau sebagai Pengerusi MN kerana Bersatu adalah adik bongsu dalam MN," katanya dipetik laporan media sebelum ini.

Post a comment

0 Comments