Bersih Global saran lanjut tempoh kempen


BADAN
pemantau pilihan raya, Global Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diberi masa kempen yang mencukupi.

Melalui satu kenyataan, Global Bersih turut menekankan tempoh kempen mencukupi itu perlu merangkumi bagi pengundi yang berada di luar negara.

"Secara khusus, Global Bersih ingin menekankan pentingnya tempoh kempen yang cukup lama untuk membolehkan pengundi di luar negara menerima dan mengembalikan kertas undi mereka dan mengesyorkan tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hingga 24 hari.

"Ini untuk mengelakkan masalah yang dihadapi semasa pilihan raya umum ke-14 tidak berulang," tegas mereka dalam kenyataan.

Jelas badan itu lagi, tempoh kempen yang terlalu singkat tidak memberikan cukup masa kepada pengundi untuk menerima kertas undi dan mengembalikannya ke tempat mengundi masing-masing.

"SPR mempunyai tanggungjawab penting untuk memastikan bahawa semua rakyat Malaysia, baik di luar negeri dan di negara ini, dapat menggunakan hak perlembagaan mereka untuk memilih.

“Oleh itu, masa berkempen dan proses pengundian yang ditentukan dan dilakukan oleh SPR harus mendorong keyakinan pengundi dan mempermudah proses pengundian.

"Oleh itu, kami sangat mendesak SPR untuk menerapkan sistem yang dapat dilaksanakan, selamat dan telus untuk semua pengundi di luar negara termasuk kempen sekurang- kurangnya 21 hingga 24 hari," kata kenyataan itu.

Mereka membangkitkan kebimbangan wujud halangan yang timbul akibat wabak Covid-19 berkenaan kepada pengundi luar negara termasuk kekangan perkhidmatan pos antarabangsa dan domestik, pergerakan rentas sempadan yang terhad dan risiko kesihatan.

SPR turut diingatkan untuk mengambil perhatian terhadap isu kewangan dan beban masa untuk pengundi, ketersediaan maklumat yang tepat, keselamatan dan pengesanan undi, ketepatan masa dan pengedaran kertas undi yang berkesan ke tempat mengundi masing-masing.
 

Post a comment

0 Comments