Brad Binder buat gila, KTM panjat podium



PELUMBA pasukan Red Bull KTM Factory Racing, Brad Binder menempa sejarah di kejuaraan Grand Prix Republik Czech hari ini apabila muncul sebagai juara.

Pelumba rookies kelahiran Afrika Selatan berusia 25 tahun itu berjaya muncul pemenang hanya pada perlumbaan ketiganya dalam kelas premium itu.

Sebelumnya, tiada siapa menjangkakan pasukan KTM dapat memenangi perlumbaan kali ini, Binder yang memulakan perlumbaan di petak ke-7 mengasak beberapa pelumba pilihan dengan gaya cukup agresif sepanjang perlumbaan.

Beliau kini merupakan pelumba pertama dari Afrika Selatan yang pernah memenangi pelumba kelas tersebut. 

 
Tumpuan pada awal perlumbaan di litar Brno itu adalah kepada pelumba Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli.

Morbidelli yang memimpin perlumbaan untuk beberapa pusingan dilihat mampu mengekalkan momentum untuk merebut kemenangan sekaligus menebus kekecewaan di litar Jerez sebelum ini.

Namun, Morbidelli terpaksa menyerah kepada Binder yang terbukti memiliki jentera lebih laju di litar pantas Brno. Keadaan tayar yang semakin hilang cengkaman membuatkan pelumba Itali itu semakin sukar memberi saingan kepada Binder dan sekadar berpuas hati di kedudukan kedua.

Franco Morbidelli | Foto - MotoGP
Sementara itu, Johann Zarco (Esponsorama Racing) yang mencipta rekod terpantas pada sesi ujian masa semalam tidak bermula dengan kemas pada awal perlumbaan.

Untuk beberapa pusingan terawal, Zarco dilihat bergelut dengan beberapa pelumbaan lain termasuk Fabio Quartararo (Petronas Yamaha SRT) untuk memperbaiki kedudukannya, Zarco turut terlibat dalam kemalangan kecil bersama Pol Espargaro (Red Bull KTM Factory Racing) yang menyebabkan Espargaro terjatuh.

Bagaimanapun, kejayaan Zarco merangkul kedudukan ketiga pada perlumbaan hari ini dengan jentera Ducati yang dianggap 'lama' cukup mengkagumkan.

Nasib tidak menyebelahi Quartararo pada perlumbaan hari ini. Pemenang dua pusingan pembukaan di Jerez itu dilihat bergelut dengan jentera dan gagal memberi saingan kuat kepada pelumba lain.

Walaupun dilihat boleh memberi kemenangan 1-2 bagi pasukannya hari ini, Quantararo hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dibelakang Alex Rins (Suzuki), Valentino Rossi Monster Energy Yamaha MotoGP) dan (Miguel Oliveira Red Bull KTM Tech 3).

Moto 2


Sementara itu aksi dalam kelas perlumbaan Moto2 tidak kurang hebatnya. Enea Bastianini yang menunggang bagi pasukan Italtrans Racing Team menguasai perlumbaan siang tadi.

Enea Bastianini | Foto- MotoGP
Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi Sam Lowes (EG 0,0 Marc VDS) dan Joe Roberts (Tennor American Racing)

Pelumba negara, Hafizh Syahrin (Openbank Aspar Team) yang bermula di petak ke-4 gagal memulakan perlumbaan dengan kemas, namun berjaya bertahan dalam perlumbaan sengit itu untuk menamatkan saingan di tempat ke 9 dengan mengumpul 7 mata.

Rakan sepasukan Hafizh, Aron Canet pula berada dibelakang Hafizh pada kedudukan ke-10.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Malaysia, Kasma Daniel (Onexox TKKR SAG Team) gagal menamatkan perlumbaan hari ini setelah terjatuh.


Manakala pelumba Petronas Yamaha SRT, Xavi Vierge gagal menepati sasaran untuk menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno dalam kelompok 10 pelumba terbaik apabila sekadar menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-12 semalam.

Post a comment

0 Comments