Cerminan sikap pemimpin politik rakus kuasa



PENGUNDI digesa  menilai sikap pemimpin politik susulan pergolakan politik yang berlaku di Malaysia termasuk Sabah, Johor, Melaka dan Kedah sebelum ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Nazhan Zulkifli dipetik laporan Sinar berkata, ketika satu dunia menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19), ahli politik Malaysia sibuk mencatur langkah untuk berkuasa.

Sikap itu tegasnya memberi cerminan sikap sebenar sesetengah ahli politik yang tidak mempedulikan masalah rakyat.

“Sudahlah pelbagai isu yang menghimpit rakyat saat ini, dengan masalah pengangguran yang makin meningkat akibat pandemik dan perniagaan-perniagaan yang terjejas.

“Di Parlimen pula ada ahli politik tidak begitu serius menangani masalah rakyat. Ada yang hadir ke Parlimen bertengkar tentang isu yang tidak penting, ada yang ke Parlimen mengeluarkan perkataan kesat. Jadi, di manakah kualiti ahli politik negara kita?” katanya.

Nazhan merujuk perkembangan politik negara, termasuk Sabah yang menyaksikan kerajaan negeri bergolak selepas pemimpin Umno, Musa Aman mendakwa berjaya mengumpul majoriti mudah untuk merampas Sabah.

Bagaimanapun, Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah mengambil jalan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menghentikan langkah politik kotor tersebut.

“Saya faham jika hari ini ramai yang sudah muak dengan perkembangan politik tanah air kita, malah sudah tidak peduli siapa kerajaan dan siapa pembangkang lagi.

"Undi kita diperdagangkan begitu sahaja apabila ahli politik melompat parti seperti tiada harga diri," tegasnya.

Sehubungan itu Nazhan meningatkan pemimpin politik berhenti mempermainkan undi rakyat.

Tegasnya, pemimpin politik perlu mengetepikan politik perebutan kuasa dan kembali kepada politik idealisme yang lebih membantu rakyat.

"Tinggalkan legasi ahli politik yang rakus demi kuasa, wang dan pangkat. Politik kuasa ini perlu dihentikan segera,” katanya.
 

Post a comment

0 Comments