Covid-19 dikesan dalam kepak ayam


PIHAK berkuasa di China telah menemui koronavirus (Covid-19) pada sampel kepak ayam import dari Brazil.

Pusat kawalan penyakit tempatan menguji sampel daripada kepak ayam itu sebagai sebahagian daripada pemeriksaan rutin lapor agensi berita antarabangsa.

Difahamkan, ujian sampel itu dilakukan pada daging dan makanan laut import sejak Jun lalu, ia dijalankan susulan penularan gelombang jangkitan kedua yang dikaitkan dengan pasar borong Xinfadi di Beijing.

Pihak berkuasa kesihatan turut menjalankan ujian ke atas kesemua individu yang berisiko dijangkiti dengan produk makanan tercemar itu, namun keputusannya adalah negatif.

Kelmarin, jurucakap majlis perbandaran Yantai di timur wilayah Shandong memaklumkan virus tersebut ditemui pada bungkusan makanan laut sejuk beku dibeli oleh tiga syarikat tempatan.

Bagaimanapun mereka tidak menyatakan negara pengeksport terlibat.

“Sebahagian daripada makanan laut tersebut telah diproses untuk dieksport manakala bakinya ditempatkan dalam simpanan sejuk beku dan belum dipasarkan,” ujarnya.

Difahamkan, Pada bulan lalu, pihak berkuasa kastam di Dalian, pelabuhan utama di wilayah Liaoning menjumpai Covid-19 pada bungkusan udang yang diimport dari Ecuador hingga menyebabkan Beijing menggantung import dari tiga pengeluar di Quito.

Post a comment

0 Comments