Covid-19: Sembilan kes baru dilaporkan


KETUA
Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sembilan kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari, hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu empat adalah penularan tempatan, sementara lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Lima kes import itu adalah dari negara Jepun, India, Pakistan, New Zealand dan Singapura dan membabitkan tiga warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

"Semua empat kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan bukan warganegara.

"Tiga kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil sebelum dihantar pulang ke negara asal dan satu kes saringan rujukan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE)," katanya dalam satu kenyataan media.

Dengan perkembangan terkini itu, jumlah kes positif telah direkodkan di Malaysia adalah sebanyak 9,103 kes.

Setakat hari ini, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 169 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

"Terdapat enam kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 8,809 kes dengan kadar kesembuhan 96.7 peratus.

"Sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan dan dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini dan kekal 125 kes," katanya.

Post a comment

0 Comments