Dwistandard: Kerajaan boleh disaman, kata peguam


HAK yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan boleh digunakan untuk menyaman kerajaan, jika terbukti penguatkuasaan peraturan Covid-19 telah diamalkan secara dwistandard, kata peguam.

Peguam Gurdial Singh Nijar dipetik laporan oleh FMT berkata, mana-mana pihak yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan boleh memohon pengisytiharan mengenainya di mahkamah.

“Bagaimanapun, pengisytiharan (sedemikian) bergantung kepada budi bicara hakim atau mahkamah,” katanya menurut laporan berkenaan.

Walaupun laporan itu tidak menyatakan secara terperinci berkenaan kenyataan Gurdial,namun ia dipercayai merujuk tindakan seorang menteri yang gagal mematuhi arahan kuarantin wajib yang dibangkitkan media sebelum ini.

Kes itu dikritik ramai, sesetengah pihak mempersoalkan mengapa menteri tersebut masih belum didakwa.

Sementara itu, Peguam A Srimurugan dipetik laporan sama berkata “Bukan semua orang boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan.”

Jelasnya hanya individu yang boleh membuktikan mereka diperlakukan secara diskriminasi boleh menyaman kerajaan, dan mereka perlu membuktikan hak terhadap perlindungan sama rata di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan terjejas.

Tambahnya, Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan semua orang sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata undang-undang, tetapi ia juga mempunyai pengecualian dan peruntukan.

Mengulas lanjut, Srimurugan berkata, beliau kesal dengan ahli politik tertentu yang tidak memandang serius undang-undang kerana ia akan menjadi contoh buruk kepada orang lain.

“Jika orang yang meluluskan undang-undang (penggubal undang-undang) tidak mematuhi undang-undang, bagaimana anda mengharapkan orang biasa mematuhi undang-undang itu? Ini ialah penghinaan undang-undang.” tegasnya.

Beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan menguatkuasakan undang-undang terhadap semua orang, tanpa mengira kedudukan mereka.

“Polis atau agensi kerajaan perlu menghukum pesalah tanpa mengira undang-undang itu dilanggar rakyat biasa atau ahli Parlimen. Jika tidak, orang ramai akan hilang keyakinan terhadap sistem perundangan.”

Katanya, pemimpin politik yang melanggar undang-undang tidak boleh dilepaskan dengan hanya memohon maaf dan didenda.

“Mereka (pemimpin politik) yang didenda kerana melanggar undang-undang perlu meletak jawatan. Di negara lain, pemimpin yang melanggar undang-undang meletak jawatan.” katanya seperti laporan itu.
 

Post a comment

0 Comments