Erdogan ubah sebuah lagi muzium jadi masjid


PRESIDEN
Turki, Recep Tayyip Erdogan, hari ini mengarahkan sebuah lagi muzium di Istanbul, diubah semula menjadi masjid untuk kegunaan umat Islam beribadat di negara itu.

Memetik laporan agensi berita antarabangsa AFP, keputusan mengubah muzium yang dulu merupakan sebuah gereja dibuat sebulan selepas Hagia Sophia diisthihar menjadi masjid.

Kedua-dua perubahan itu walaupun dikritik pihak tidak senang terutama dari Barat mencerminkan usaha Erdogan mengembalikan kegemilangan Islam di Turki.

Sebagai rekod bangunan muzium itu berusia 1,000 tahun terletak di tebing barat bersejarah muara Golden Horn di wilayah Istanbul yang bersebelahan dengan Eropah.

Dibangunkan pada zaman Byzantine abad pertengahan, ia dihiasi dengan lukisan dinding abad ke-14 berunsur sejarah Kristian Ortodok, Gereja itu kemudian ditukar menjadi Masjid Kariye setengah abad selepas penaklukan Constantinople oleh Empayar Uthmaniyyah Turki pada 1453.

selepas Perang Dunia II, selaras dengan usaha Turki sekular ketika itu, masjid berkenaan kemudian bertukar menjadi Muzium Kariye. Ia sebagai usaha menyisihkan saki baki pengaruh Empayar Uthmaniyyah di negara itu.

Sebelum ini, keputusan Erdogan mengembalikan status masjid di Hagia Sophia disambut rasa syukur rakyat negara itu.

Hagia Sophia ditukar menjadi masjid pada 1453 ketika Empayar Uthmaniyyah ketika itu yang dipimpin Sultan Mehmed II menawan Istanbul atau dikenali Constantinople.

Baginda mengetuai solat Jumaat disitu dan mengarahkan bangunan itu diubahsuai menjadi masjid.

Ia kekal menjadi tempat ibadat umat Islam untuk lebih 500 tahun dan menjadi model kepada masjid lain di Turki sebelum Empayar Uthmaniah ditumbangkan.

Presiden pertama Turki yang juga tokoh sekular, Mustafa Kamal Ataturk mengubah fungsi masjid itu kepada muzium pada 1935 melalui keputusan Majlis Menteri bertarikh 24 November 1934.

Post a comment

0 Comments