Hasrat hantar pengantin bertukar tragedi


HASRAT
sebuah keluarga menghantar bakal pengantin ke Kelantan berakhir tragedi apabila tiga daripadanya maut.

Suri rumah, Dalila Yusof, 54, dipetik laporan Bernama berkata, mereka menaiki dua kenderaan bagi menghantar anaknya Amirul Syafiq Ab Gafar, 22, yang akan melangsungkan perkahwinan di Wakaf Baru, Kelantan, dengan kereta Proton Saga dipandu suaminya berada di hadapan.

Ipar Dalila, Masitah Kassim@Ismail, 54, dan adiknya Muslaini, 48, serta kakak ipar dua mangsa itu, Norasmah Ismail, 55, menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dipandu anak lelaki Norasmah berusia 21 tahun, bersama tiga lagi anggota keluarga lain. 

Sebaik sampai di Kilometer 18, Jalan Bentong-Raub, berhampiran Lurah Bilut di sini, Proton Exora dipandu dibelakang kereta suaminya bertembung dengan sebuah lori.

Masitah, Muslaini serta Norasmah Ismail maut dalam kejadian itu.

"Ketiga-tiga arwah menetap di Merlimau, Melaka dan datang ke rumah kami di Pelabuhan Klang, Selangor pada petang Khamis. Kami bertolak sekitar jam 6.30 pagi dan sepatutnya berhenti di Raub untuk sarapan sementara menunggu sebuah lagi kereta untuk sama-sama berkonvoi.

"Semasa kereta kami brek, saya toleh ke belakang untuk lihat kereta mereka, namun terdengar bunyi dentuman kerana kereta kami dilanggar dari belakang sebelum kereta mereka bertembung dengan lori dari hadapan," katanya dipetik.

Dalila berkata, mereka segera berhenti untuk memeriksa mangsa dalam kenderaan itu, namun ketiga-tiga mangsa sudah meninggal dunia dan keluarga memutuskan untuk menangguhkan perkahwinan bagi menguruskan jenazah yang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulai, Merlimau malam ini.

Sementara itu menurutnya lagi, anak Norasmah kini dirawat di Hospital Kuala Lipis,manakala dua lagi adik perempuan Masitah dan Muslaini, dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, seorang mangsa berusia tujuh tahun hanya cedera ringan.

Semua penumpang Proton Saga tidak mengalami kecederaan.

Susulan kejadian itu difahamkan keluarga memutuskan untuk menangguhkan perkahwinan bagi menguruskan jenazah semua mangsa yang akan dikebumikan di kampung asal mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulai, Merlimau, Melaka.

Post a comment

0 Comments